Faiz Subri terpaksa melupakan hasratnya ke Hungary

PEMENANG Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri terpaksa melupakan hasrat berkelana ke keluar negara bagi menggalas jawatan sebagai jurulatih teknikal pasukan Teqball Hungary.

Teqball adalah sukan yang menyerupai ping pong dengan pemain menggunakan bola seperti bola sepak.

Ia mula diperkenalkan di Hungary pada 2012 dan kini menjadi sukan yang semakin popular di seluruh dunia.

Tanpa menamakan mana-mana pihak yang bertanggungjawab, pemain berusia 33 tahun itu berkata, rundingan mengenai jawatan tersebut yang bermula sejak tahun lepas tidak diteruskan.

“Setakat ini tiada perbincangan lanjut mengenai tawaran (jurulatih teknikal pasukan Teqball Hungary) dan saya anggap ia telah berakhir,” kata bekas pemain Pulau Pinang itu ketika dihubungi Bernama.

Pada Disember tahun lepas, Mohd Faiz yang ketika itu bersama pasukan Liga M3 Northern Lions Football Club (NLFC), ditawarkan jawatan berkenaan dan perlu mempertimbangkan untuk menamatkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan dibuat sehinggalah beliau menandatangani kontrak dengan pasukan Liga M3 Kuala Kangsar FC (KKFC) pada Mac lepas, namun Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membatalkan saingan itu baru-baru ini, susulan pand3mik C0v!d-19.

“Terkini saya tiada pasukan selepas saingan Liga M3 2021 dibatalkan. Saya masih menanti tawaran dari mana-mana pasukan yang masih percaya dengan kebolehan saya,” katanya yang pernah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada 2012, 2013 dan 2015.

Anak kelahiran Kedah itu memberi bayangan bahawa beliau masih mahu bermain dalam liga profesional dan berkata dirinya mampu beraksi untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

‚ÄúTahap kecergasan saya hampir mencapai tahap terbaik sewaktu menjalani latihan bersama KKFC dan ketika ini saya masih melakukan latihan kecergasan secara sendirian,” katanya yang mencipta sensasi dalam sejarah bola sepak tanah air menerusi gol tendangan percumanya yang tular di media sosial kerana dikatakan menentang hukum fizik.

Jaringan tersebut diledakkan ketika beliau membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super pada Februari 2016, sekali gus meletakkan Mohd Faiz sebaris dengan pemain bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic dan Neymar yang pernah meraih anugerah tersebut.

Mohd Faiz juga merupakan pemain Asia pertama menerima anugerah Puskas sebelum bintang Tottenham Hotspur dari Korea Selatan Son Heung-min dinobatkan sebagai pemenang bagi 2020.
– Bernama