Enam tonggak muda diberi peluang – TCH

Kuala Lumpur: Seperti dijanjikan sebelum ini oleh kem negara akhirnya menyaksikan seramai enam tonggak muda bakal diberi peluang untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan kelas A yang dijadual pada Oktober depan.

Menerusi pengumuman nama 24 pemain yang dipanggil, seramai enam muka baharu akan diuji oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe dengan memanggil dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Malah daripada senarai penuh itu, Cheng Hoe juga mengurangkan jumlah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada lima sahaja daripada separuh pemain yang mengisi skuad sebelum ini.

Daripada senarai itu, barisan jurulatih negara hanya mengekalkan 12 pemain dari kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga aksi Kumpulan G, Pusingan dua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE.

Mereka terdiri daripada ketua pasukan Aidil Zafuan Abd Radzak, penjaga gol Khairulazhan Khalid, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Dion Cools, Irfan Zakaria, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan Guilherme de Paula.

Turut kembali tersenarai, enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini iaitu penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat; ketua pasukan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Skuad Harimau Malaya akan melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober ini sebelum berlepas ke Amman, Jordan pada 2 Oktober bagi menghadapi dua aksi antarabangsa bertemu Jordan dan Uzbekistan yang berlangsung dalam tempoh jendela perlawanan antarabangsa Fifa.

Dua aksi ini adalah medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala AFF dari 5 Disember hingga 1 Januari depan dan seterusnya Pusingan ke-3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.
-BH