Empat pemain import dalam radar PDRM FC

Seremban: Pasukan kelab bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) akan menggunakan empat pemain import, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatih PDRM FC, Mat Zan Mat Aris berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mengurangkan bilangan pemain import yang ditetapkan kerana ia penting bagi membantu pasukan berkenaan meraih keputusan positif.

Katanya, bagaimanapun nama pemain import yang diidamkan pasukan itu belum boleh didedahkan kerana masih di peringkat perbincangan dengan pihak pengurusan pasukan.

“Kita akan guna empat pemain import kerana ia penting dalam membentuk kekuatan pasukan selain mereka dapat membimbing pemain tempatan meningkatkan kualiti permainan.

“Beberapa pemain import sudah dikenal pasti dan berada dalam radar kita, namun belum boleh didedahkan lagi kerana masih di peringkat perbincangan,” katanya.

Mat Zan berkata, setakat ini persiapan pembentukan skuad PDRM sudah mencecah 70 peratus dan pihaknya yakin tempoh yang ada sekitar lapan minggu menjelang aksi pembuka tirai saingan pada 27 Februari depan, mencukupi.

Beliau yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama PDRM berkata, skuad bimbingannya itu akan menggabungkan sebahagian muka lama dengan pemain baharu bagi memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Saya yakin dengan kekuatan pemain muda yang berbakat dan berpotensi memberikan sumbangan terbaik untuk kejayaan pasukan,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

Mengulas mengenai kemungkinan pengurusan PDRM mengambil langkah penjimatan, Mat Zan berkata, ia tidak menjadi masalah baginya untuk membentuk skuad mantap seperti mana yang diinginkannya.

Menurutnya, pihaknya akan membentuk pasukan itu berdasarkan kemampuan atau peruntukan yang diluluskan oleh pengurusan PDRM FC, kerana ia penting bagi mengelak sebarang masalah berlaku pada masa depan seperti soal gaji dan lain-lain.

“Kita menawarkan gaji kepada pemain ikut kemampuan dan pemain yang dipilih itu juga mesti ada kualiti dan bukannya diambil secara semborono kerana kita ada matlamat untuk bawa pasukan ke suatu tahap pencapaian yang terbaik.

“Setakat ini ramai pemain yang berminat menyarung jersi PDRM,” katanya yang pernah membimbing pasukan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, sebelum ini.

Man Zan antara jurulatih berpengalaman tempatan yang memiliki rekod cemerlang kerana pernah membantu Terengganu menjulang kejuaraan berganda Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2001.

Sumber : HM