Ejen Bola Sepak Tempatan Mendedahkan

Ejen bola sepak tempatan, Syed Qamarul Firdaus mendedahkan sekurang-kurangnya lima pemain negara menjadi perhatian beberapa kelab Eropah sejak dua tahun lepas.

Lima pemain tersebut merupakan Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Irfan Zakaria dan Syahmi Safari yang menunjukkan aksi memberangsangkan ketika bersama skuad B-23 negara terutamanya dalam temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta serta Kejohanan AFC B-23 tahun lalu.

Prestasi mereka mengundang minat beberapa kelab liga Belgium, Denmark, Crotia, Switzerland, Bulgaria dan banyak lagi.

Menurut Syed Qamarul, kelab Liga Switzerland, FC Zurich dan kelab Liga Republik Czech, Sparta Prague pernah bertanya mengenai status Safawi.

Kelab Liga Belarus, BATE Borisov pula meminati Akhyar Rashid.

“Kalau tanya saya pemain yang jadi buruan kelab Eropah, semuanya dari skuad B-23 pada 2018 yang kini jadi tunjang utama kekuatan skuad Harimau Malaya di bawah Tan Cheng Hoe,” katanya kepada Arena Metro.

“Kena ingat, kelab-kelab Eropah tak akan ambil pemain yang lebih usia 25 tahun ke atas tetapi mereka akan cari yang bawah 23 tahun.

“Tumpuan mereka pula lebih mencari pemain di bahagian sayap. Cuba tengok pemain-pemain dari Korea Selatan atau Jepun seperti Song Heung-min dan Park Ji-Sung semuanya beraksi di posisi sayap.

“Bagi mereka, pemain-pemain dari Asia lebih kerja keras atas padang. Sebab itu juga mereka minat kepada Safawi atau Akhyar yang beraksi di posisi sayap. Selain bahagian itu, pemain pertahanan sayap kiri dan kanan juga tumpuan kelab Eropah.

“Saya fikir ini adalah waktu dan ketikanya untuk kita eksport pemain tempatan ke luar. Jika tak ke Eropah sekali pun, liga Korea Selatan, Jepun dan Thailand pun dah cukup baik sebagai permulaan.”

Bagaimanapun, Syed Qamarul memahami jika pemain Malaysia enggan ke kelab Eropah yang kurang ternama.

“Mahu ke pemain kita ke sana. Biasanya kelab kelas kedua ini gaji kecil tak seperti liga EPL, La Liga, Ligue 1, Seria A dan Bundesliga.

“Gaji Liga Malaysia lebih besar daripada kelab bawahan di Eropah. Jadi buat apa pemain seperti Safawi atau Akhyar pergi ke luar jika di kelab sekarang lebih mewah ditambah dengan fasiliti yang berkelas dunia di JDT.

“Jika mereka nak mencabar diri mereka boleh pergi ke luar, tetapi kena lakukan sebelum capai 25 tahun. Kalau tak memang susah dan tak laku.”