Dugaan Besar Buat Pemain Kedah

KEDATANGAN Ramadan tahun ini nyata membawa dugaan besar buat barisan pemain Kedah yang terpaksa menyambutnya dengan serba kekurangan berikutan kegagalan pengurusan pasukan membayar gaji.

Difahamkan, skuad Helang Merah itu masih belum menerima gaji penuh bagi bulan Februari selain gaji Mac yang masih tertunggak sepenuhnya.

Menurut sumber dalaman pasukan, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hanya mengkreditkan sebanyak 30 peratus gaji Februari dengan 70 peratus lagi pembayaran masih tertangguh.

Situasi itu jelas menghimpit pemain yang buntu memikirkan nasib mereka terutama ketika menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk ahli keluarga.

Malah, persediaan menyambut Aidilfitri juga terjejas dengan pemain tidak dapat membeli awal kelengkapan raya seperti pakaian untuk anak-anak, kuih muih dan menukar duit raya di bank.

“Dah dua bulan gaji tak masuk, sejak bulan dua (Februari) lagi. Itu pun mereka (KFA) ada bayar sikit tapi yang selebihnya masih tak dapat lagi. Kalau bulan dua pun sangkut, dah tentu bulan tiga (Mac) pun tak nampak bayang.

“Kalau ikutkan setiap 7 haribulan pemain akan dapat gaji. Kebetulan tarikh itu lusa dan rata-rata pemain memang tunggu dan kalau tak masuk juga, kira gaji dah tertunggak selama tiga bulan.

“Kesian kat pemain tak dapat sambut Ramadan dengan hati senang. Belum lagi cerita untuk sambut hari raya. Baju raya semuanya nak kena beli awal dan terpaksa beli dalam talian sebab Covid-19.

“Kalau berterusan macam ini, kesian ahli keluarga pemain yang mungkin tak dapat beraya semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya,” kata sumber kepada Arena Metro, hari ini.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji pemain Kedah disuarakan Penaung Diraja Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada bulan lalu yang mendedahkan ada pemain pasukan itu mengadu masalah berkenaan kepada PFAM.

sumber: HM

Bagaimanapun, KFA menerusi Setiausaha Kehormatnya, Asmirul Anuar Aris menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada kegagalan pihak penaja menjelaskan bayaran mereka ekoran krisis pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada kewangan pihak penaja.

Malah, sebelum itu pada Februari lalu, Arena Metro pernah mendedahkan isu sama di mana pemain dan pegawai pasukan utara tanah air itu dikatakan lambat menerima gaji bagi Disember dan Januari.