Dua tugas menanti Kalonda

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan tinggi untuk menyenaraikan calon warisan, Marcel Kalonda menjelang dua tugasan penting antarabangsa sebelum penghujung tahun ini.

Dua tugasan getir bakal dilalui skuad Malaysia bermula dengan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini sebelum melangkah ke saingan Piala AFF dijadual berlangsung Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kehadiran tonggak tinggi lampai itu mampu memantapkan lagi pasukan khususnya di benteng pertahanan tengah negara.

Jelasnya, pihaknya ketika ini sedang meneliti semua dokumen rasmi berhubung latar belakang pemain itu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen.

Katanya, sekiranya proses itu dapat diselesaikan segera tidak mustahil kelibat Kalonda sebagai pemain warisan akan dilihat seawal Oktober ini apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe turun berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober di Dubai, disusuli Vietnam lima hari kemudian di Bukit Jalil sebelum menutup kempen Kumpulan G kelayakan Piala Dunia men3ntang Thailand di Bangkok pada 17 November.

Bahagian undang-undang FAM ketika ini meneliti semua dokumen yang sudah diserahkan Kalonda kepada FAM. Semua dokumen berkaitan sejarah latar belakangnya dan hubungan dengan Malaysia kita dah terima. Selesai proses penelitian baru kita akan hantar kepada KDN dan Imigresen.

Memang kita harap kalau boleh proses kelulusan daripada pihak kerajaan itu dapat dipercepatkan bagi membolehkan kita menyenaraikan namanya secepat mungkin. Tapi dia tetap kena melalui ujian pemilihan dan kalau jurulatih setuju, mungkin dia boleh bermain sebelum hujung tahun ini. Kalau lagi awal, lagi baik, katanya kepada Arena Metro, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan keinginan tinggi Kalonda untuk menyarung jersi Malaysia membuak-buak apabila dia sudah melengkapkan baki dokumen yang tersangkut sebelum ini.

Beberapa dokumen membabitkan sijil kelahiran dia dan datuknya, sijil perkahwinan ibu bapa, pasport dan surat daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo sudah diserahkan kepada FAM.

Dia yang kini beraksi dengan kelab ZESCO United dalam Liga Zambia dikatakan mempunyai hubungan dengan negara ini kerana datuknya berasal dari Sabah.