Dua Pasukan Bakal Menjadi Halangan Buat Skuad Bawah 19 (B-19)

DUA pasukan ‘pak arab’ bakal menjadi halangan buat skuad bawah 19 (B-19) tahun negara apabila diletakkan dalam Kumpulan D Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Pasukan berkenaan adalah bekas juara pada 2014 iaitu Qatar serta Yaman, manakala Tajisktan turut mengintai peluang untuk melepasi kumpulan itu.

Bagaimanapun daripada tiga pencabar itu, hanya Qatar dilihat berada pada kelas tersendiri dengan membariskan barisan pemain remaja daripada akademi terkenal dunia iaitu Akademi Aspire di Doha, Qatar.

Manakala Tajikistan dan Yaman boleh dianggap lawan setara di mana rekod edisi sama dua tahun lalu menyaksikan skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak berjaya mengikat Tajikistan 2-2 dalam peringkat kumpulan.

Ia sekali gus memberi sedikit keyakinan untuk pasukan cuba menamatkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan D dan mara ke suku akhir.

Untuk rekod, skuad negara mara ke pusingan akhir selepas muncul juara Kumpulan G pada peringkat kelayakan yang berlangsung hujung tahun lalu.

Pada kelayakan itu, skuad negara yang diketuai peny3rang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin menyapu bersih 12 mata dalam empat aksi termasuk menundukkan Thailand yang terpaksa berputih mata tidak layak kali ini.

Berdasarkan format pertandingan, empat pasukan terbaik yang mara ke separuh akhir bakal meraih tiket automatik ke saingan Piala Dunia B-20 di Indonesia, tahun depan.

Skuad negara dijangka menjalani latihan seawal bulan depan sebelum diterbangkan ke Asia Tengah untuk beberapa minggu bagi membiasakan pasukan dengan cuaca sejuk di Uzbekistan nanti.

KEPUTUSAN UNDIAN:

Kumpulan A: Uzbekistan [TR], Indonesia, Kemboja, Iran

Kumpulan B: Korea Selatan, Jepun, Iraq, Bahrain

Kumpulan C: Arab Saudi, Australia, Vietnam, Laos

Kumpulan D: Qatar, Malaysia, Yaman, Tajikistan