Dua pasukan bakal ‘ditendang’ dari Liga Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua pasukan, masing-masing dari Liga Super dan Liga Perdana berisiko ‘ditendang’ daripada Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas gagal melengkapkan dokumen bagi membolehkan mereka bertanding.

Ketika liga tinggal kurang dua bulan untuk membuka tirai pada 28 Februari, kedua-dua pasukan itu gagal melengkapkan dokumen berkaitan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, nasib pasukan tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM minggu depan.

“Semua pasukan sudah (melengkapkan dokumen) setakat ini, namun terdapat dua lagi pasukan perlu lengkapkan beberapa perkara seperti yang diminta oleh kami.

“Lima daripada tujuh pasukan yang diberi lesen bersyarat sebelum ini telah menyelesaikan proses mereka, malah lesen juga tiada masalah, namun dua pasukan ini, lesen mereka boleh ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

November lalu, Stuart mengesahkan tujuh pasukan yang diberi lesen bersyarat untuk bersaing dalam Liga M sudah menyerahkan dokumen sebelum 31 Oktober 2020.

Semua pasukan itu dua dari Liga Super iaitu Pahang dan Melaka, manakala lima Liga Perdana termasuk juara musim lalu, Pulau Pinang, Kelantan, Kuching FA, UKM FC serta Sarawak United.

Sumber : UM