‘Angkat Kaki’

KUALA LUMPUR: “Tiada apa yang boleh saya buat.”

Itu luahan jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah selepas dua lagi pemain pasukan The Red Warriors mengangkat kaki dipercayai susulan kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan tunggakan gaji yang kini memasuki empat bulan setengah.

Sebelum ini, pemain import Korea Selatan, Kang Seung Jo meninggalkan The Red Warriors (TRW) apabila menyertai Gyeongnam FC dan dengan dua lagi pemain tempatan ‘hilang’, ia sudah pasti memberi tamparan hebat kepada Kelantan dalam persiapan mengharungi aksi Liga Perdana menentang UKM FC, 22 Ogos ini.

“Mereka memaklumkan mahu menarik diri, jadi tiada apa yang boleh saya buat.

“Saya memahami situasi ini kerana ia membabitkan masa depan mereka. Bukan saya yang pegang duit tetapi itulah yang terjadi setakat sebelum Hari Raya Aidiladha minggu lalu.

“Mungkin sukar buat pemain apabila berdepan situasi sebegini. Apapun, sebagai jurulatih, saya tetap akan meneruskan tanggungjawab kerana ini adalah amanah yang diberikan kepada saya,” kata Yusri.

Mengulas lanjut situasi itu, Yusri mengakui apa yang berlaku pasti memberikan kesukaran untuknya terutama dalam menyiapkan pasukan untuk kembali bersaing secara kompetitif selepas berehat hampir lima bulan sebelum ini susulan pandemik COVID-19.

“Ketika ini, kita kekurangan pemain dan ia pasti memberi cabaran kepada saya apabila latihan dimulakan semula nanti khususnya dengan risiko keced3raan dan aksi persahabatan yang sudah diatur.

“Saya harapkan semoga pengurusan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman ketika dihubungi BH Sukan mengesahkan perkembangan terbabit.

“Setakat ini, memang tiga pemain sudah meninggalkan Kelantan iaitu Kang dan dua lagi pemain tempatan iaitu Wan Afiq Kasbi dan Afiq Azwan,” katanya.