Dominic Tan Ucap Selamat Tinggal Kepada JDT

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dominic Tan Jun Jin bakal menyertai pasukan baharu pada musim depan apabila mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui satu muat naik di laman instagramnya hari ini.

Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak tahun 2016, beliau telah membuat penampilan sebanyak 27 kali bersama pasukan JDT II dalam saingan Liga Premier musim 2016 kemudian dipinjamkan ke kelab Portugal iaitu Vilaverdense F.C. pada tahun 2018.

Beliau juga sempat melakukan penampilan pertama dengan skuad JDT pada musim 2017.

“Terima kasih JDT. Pengalaman 4 tahun bersama JDT sangat menakjubkan. Terima kasih juga kepada para penyokong, rakan sepasukan, jurulatih dan terutamanya DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang membuatkan saya seperti berada di rumah. Satu penghormatan dapat menjadi sebahagian daripada keluarga pasukan ini,” tulisnya.

Bagaimanapun, masa depan Dominic Tan bersama kelab divisyen 2 Thailand, Police Tero FC masih lagi tidak dapat dipastikan kerana mengikut maklumat sekitar 4 bulan lalu, beliau hanya dipinjamkan untuk baki saingan liga Thai musim 2019.

Bulan Oktober lalu, Police Tero FC disahkan layak ke saingan divisyen 1 pada musim 2020 selepas menewaskan pencabar terdekat, Rayong FC 7-0 untuk mengesahkan status selaku naib juara Thai League 2 dengan mengumpul 65 mata dibelakang BG Pathum United dengan perbezaan 13 mata.

sumber: vocketfc

Malah, Dominic turut tersenarai sebagai pemain simpanan dalam perlawanan itu dan berdasarkan ‘starting list’ rasmi sehingga kini beliau hanya melakukan 1 penampilan bersama Police Tero FC.

Jika beliau mendapat kontrak lanjutan bersama Police Tero FC, ini merupakan peluang terbaiknya mengharungi saingan dalam sebuah liga bola sepak terbaik di ASEAN seterusnya menggunakan pengalaman itu bagi membantu mengukuhkan lagi kekuatan pasukan kebangsaan di masa depan.