ditawar kontrak jika lepas ujian kecergasan

Pertahanan veteran, Shukor Adan hanya akan ditawar kontrak oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas lulus ujian kecergasan.

Ramai menganggap Kuala Lumpur yang akan bermain di Liga Premier 2020 telah berjaya mendapatkan tandatangan pertahanan paling berpengalaman bolasepak tanah air itu setelah dia dilihat telah turun menjalani latihan bersama skuad warga kota sejak beberapa minggu lalu.

Selain Shukor Adan, pemain baru lain adalah Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Qayyum Marjoni Sabil dan S.Subramaniam

Bagaimanapun Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustapha menjelaskan pasukan itu masih lagi dalam proses pemilihan dan belum memuktamadkan barisan pemain namun mengakui pemain-pemain yang sedang menjalani latihan ketika ini adalah senarai awal yang akan direkrut, tertakluk kepada kelulusan ujian keceergasan.

“Kita masih mencari pemain yang sesuai untuk pasukan, KLFA baru sahaja mendapat presiden dan barisan exco baharu, jadi pembentukan pasukan agak lewat sedikit. Secara dasarnya pemain di dalam kem ketika ini, termasuk Shukor Adan, merekalah antara yang kita akan tandatangan, paling awal pada Januari depan, dengan syarat lulus ujian kecergasan.

“Dari segi pengalaman, Shukor Adan tidak perlu lagi diperkenaln, jadi dengan pengalaman yang ada padanya, kita harap dia dapat membantu rakan-rakan sepasukannya yang lebih muda. Selain itu, kita juga masih menaruh kepercayaan kepada Indra (Putra Mahayuddin). Pengalaman luas Indra dan juga Shukor amat penting bagi memacu kejayaan pasukan,” kata Nokman kepada Sinar Harian Online.

Kuala Lumpur akan bermain di Liga Premier 2020 setelah menamatkan saingan Liga Super 2019 di kedudukan tercorot.