Dipaksa Tamatkan Kontrak Lebih Awal ?

Para pemain pasukan Liga M3 iaitu Perlis United dilaporkan dipaksa oleh majikan untuk menamatkan kontrak lebih awal.

Satu sumber terdekat mendedahkan pemain diu gut supaya menurunkan tandatangan dalam surat bertajuk Penamatan Perjanjian Secara Sukarela yang sebenarnya disediakan oleh pengurusan kelab.

Apa yang lebih mengejutkan, mereka terpaksa menandatangani surat tersebut untuk mendapatkan gaji bulan Mac.

“Pemain diugut kalau tak sain, mereka tak dapat gaji. Jadi pemain tiada pilihan lain demi sesuap nasi.

“Lebih memburukkan keadaan, surat itu juga menyatakan kontrak pemain ditamatkan secara sukarela sedangkan mereka tak mahu pun,” kata sumber itu kepada Arena Metro.

“Pemain tak tahu nak buat apa. Mereka tiada duit jadi terpaksa sain kerana diugut pengurusan.”

“Pemain tak kisah kalau gaji April dan Mei tak dibayar sebab sedar penangguhan liga disebabkan COVID-19 Tapi bila pengurusan suruh sain sebab nak bagi gaji Mac dan terus tamat kontrak, pemain terpaksa juga.”

“Ini cara salah dan tak betul langsung. Sepatutnya pasukan kena panggil pemain dan berbincang dahulu. Tapi pemain terus diberi surat yang sebenarnya bukan daripada pemain.

“Saya dengar, surat itu dikumpul pengurusan kelab untuk maklumkan kepada FAM dan AFL bahawa pemain mahu tinggalkan pasukan.

“Hakikatnya surat itu bukan daripada pemain, tapi disediakan pengurusan tanpa makluman. Ini penganiayaan atau perhambaan dalam bola sepak moden yang pernah dibangkitkan PFAM (Persatuan Bolasepak Pemain Profesional Malaysia) dahulu,” katanya secara eksklusif kepada Arena Metro, semalam.

Seorang lagi pemain mendedahkan, rata-rata rakan sepasukan buntu dan enggan melaporkan perkara tersebut kepada FAM kerana bimbang akan dikenakan tindakan saman.

“Memang kami disuruh sain surat sedangkan pemain tak mahu sebab bukan senang nak dapat pasukan lain lepas ini.”

“Benda ini jadi selepas FAM keluar arahan supaya pemain dan pasukan berbincang mengenai pemotongan gaji.”

FAM memberi tempoh sehingga 22 April kepada semua pasukan dan pemain berunding dan mencapai kata sepakat mengenai pemotongan gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak COVID-19.

“Masalahnya sekarang, kalau liga bersambung balik selepas ini apa nasib pemain yang dah sain? Lebih kesian kat pemain muda yang tengah bersemangat nak cipta nama. Bila jadi macam ini masing-masing rasa dianiaya.”

sumber : football

Sementara itu, jurucakap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berkata, pihaknya hanya memberi sokongan kepada Perlis United untuk terus bertanding seperti biasa.

“Difahamkan sebelum ini ada perjanjian antara Perlis United dengan Tambun Tulang FC sebelum dijenamakan semula. Apa isi kandungan kontrak antara pemain dan pengurusan itu saya tak pasti.”

“Cuma ada dengar kata penamatan kontrak atas sukarela kedua-dua pihak.”