Dickson Nwakaeme mendedahkan

Striker import Pahang, Dickson Nwakaeme mendedahkan masakan ikan patin tempoyak menjadi makanan kegemarannya di negara ini.

Perkara itu diakui pemain kelahiran Nigeria itu dalam sesi temubual Sembang Raya secara live di Facebook Proton Hoi Keen 4s – Kuantan, hari ini yang turut dihadiri pemain naturalisasi Malaysia, Mohamdou Sumareh.

Nwakaeme yang digelar orang besi berkata dia terpikat dengan ikan patin apabila mencubanya di Temerloh selepas terpengaruh dengan bekas pertahanan Pahang dari Jamaica, Damion Stewart.

Kali pertama saya mencuba ikan patin, ia menakjubkan, saya tidak cuba banyak (makanan) kerana jika saya cuba satu benda dan ia bagus, saya akan teruskan. Setakat ini ikan patin bagus.

Saya cuba (makan ikan patin) di Temerloh, saya ingat Damion Stewart ketika dia beraksi bersama Pahang, dia suka ikan patin. Jadi saya cuba di Temerloh.

Apa saja (masakan) berkenaan ikan patin bagi saya terbaik. Ikan patin tempoyak, ia sangat terbaik, menakjubkan. Saya (pernah) makan seekor (ikan patin) yang besar seorang diri, katanya.

Sementara itu, Sumareh yang juga pemain Pahang pula mendedahkan menyukai rendang yang dianggap seakan sama dengan makanan kegemaran di negara kelahirannya, Gambia.

Namun, dia berkata kurang gemar dengan masakan Kelantan yang kebanyakannya mempunyai rasa yang manis.