Destinasi Pilihan Pra-Musim Helang Merah

Kedah akan terbang ke Kemboja dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperkasa persiapan untuk menghadapi musim baru Liga Malaysia yang akan membuka tirai pada hujung Februari 2020.

Menurut Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris, “Kita akan bermain beberapa perlawanan persahabatan pra-musim di sana yang mana dalam usaha memantapkan persefahaman dan keserasian dalam kalangan pemain. Kita yakin ia akan membantu persiapan pasukan untuk bermain di Liga Malaysia dan juga kelayakan Liga Juara Asia (ACL) 2020.”

Asmirul ditemui pemberita selepas merasmikan Pembukaan Sidang DUN Belia di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Sebagai rekod, Kedah antara pasukan terawal melengkapkan aktiviti di pasaran perpindahan dengan sejumlah lapan pemain baru dibawa masuk termasuk tiga pemain import iaitu Kipre Tchetche, Kpah Sherman dan Amin Nazari manakala bintang tempatan yang memperkuatkan pasukan antaranya adalah Hadin Azman dan Irfan Zakaria.

Sebelum bermula saingan Liga Malaysia yang dijadualkan pada 28 Februari, skuad Lang Merah akan terlebih dahulu turun menentang kelab Hong Kong, Tai Po FC di Stadium Darul Aman pada 21 Januari dalam aksi pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2020.

Sekiranya menang, skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak itu perlu melepasi pula halangan kelab Korea, FC Seoul dalam aksi kelayakan kedua bagi membvru tempat di peringkat kumpulan, sekaligus menjadi pasukan kedua dari Malaysia untuk bermain di pentas ACL.