De Paula akan kembali kepada JDT ?

“DIA (Guilherme De Paula) sudah mengikat kontrak setahun dengan pasukan Perak sebagai pemain import. Bukan berstatus pemain pinjaman seperti ditularkan di media sosial.”

Itu penjelasan pengurus skuad Liga Super Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengenai status peny3rang kelahiran Brazil itu.

Menurutnya pada masa sama, pemain yang membantu Kuala Lumpur menjuarai Liga Perdana pada musim 2017 sedang menunggu proses menjadi pemain naturalisasi.

“Segala perkara berkaitan sedang diuruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apabila De Paula sudah mendapat pasport dan menjadi pemain tempatan, PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) merancang menambah kuota pemain import,” katanya dihubungi Arena Metro hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial De Paula hanya berstatus pinjaman dan akan kembali kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pemain tempatan seperti mana Liridon Krasniqi yang beraksi bersama Melaka United secara pinjaman.

Difahamkan De Paula sah menjadi pemain import Perak selepas menandatangani kontrak dalam pertemuan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), baru-baru ini.

Pada masa sama The Bos Gaurus mengekalkan dua import sedia ada iaitu Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).