datanglah kepada kami

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan mengatakan badan induk itu ‘membisu’ dan tidak berusaha menyelesaikan masalah tunggakan bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi.

Sebaliknya, persatuan itu bertegas yang perbincangan bersama Mohd Badhri ada dilakukan namun ketika ini belum berjaya capai kata sepakat.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari penyelesaian dan terbaharu berjaya dapat kata sepakat dengan Khairul Fahmi Che Mat.

“Yang Apek (Khairul Fahmi) sudah selesai pagi tadi dan tunggakan itu akan dilunaskan secara ansuran. Dalam hal ini, (luahan Mohd Badhri) saya pun tidak tahu macam mana kenyataan itu boleh keluar. 

“Sebenarnya ada perbincangan cuma buat masa sekarang belum ada kata sepakat. Tetapi kalau dia ada persoalan atau mahu menjelaskan sesuatu, datanglah kepada kami kerana kami sentiasa terbuka untuk cari jalan penyelesaian.

“Jadi saya harap jalan penyelesaian akan dapat dicapai dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi.

BH Sukan semalam melaporkan Mohd Badhri atau Piya kecewa selepas KAFA masih belum menghubunginya bagi membincangkan mengenai tunggakan gaji berjumlah lebih RM250,000 dan kini penantiannya sudah melebihi setahun.

Selain Piya, KAFA ketika ini juga terus diasak kiri dan kanan oleh bekas pemainnya termasuk Norhafiz Zamani Misbah dan Fauzi Rozlan yang menuntut gaji masing-masing.