Daripada Kutip Sampah Ke Pemain Bola Profesional

KUALA LUMPUR: Pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mendedahkan pernah bekerja sebagai kelindan lori sampah sebelum bergelar pemain bola sepak profesional.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata pekerjaan itu adalah kerja pertamanya selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, berdasarkan pengalaman itu membolehkan dia menubuhkan syarikat sendiri, AZYU Global Enterprise sejak 2013 dan dapat membeli dua lori sampah tahun ini.

“Selepas sahaja habis SPM saya terus ikut ayah saya menjadi kelindan lori sampah. Kerja yang sangat mencabar. Kutip sampah dari rumah ke rumah dengan hanya menggunakan tangan. Tapi tak apa, saya tanamkan niat untuk mencari rezeki dan permudahkan urusan ayah saya.

“Sepanjang bekerja tangan saya hanya berbau sampah. Ulat sampah, air sampah, bau busuk, semuanya saya hadap. Tambahan pula, antara rumah yang saya kutip adalah rumah cikgu saya sendiri. Alhamdulillah cikgu itu selalu cakap pada saya ini kerja mulia.

“Pada 2013 saya mengambil lesen lori (GDL). Selepas itu saya bawa lori sendiri, angkat sampah sendiri dan segalanya sendiri. Bangga sewaktu itu kerana dapat merasai penat lelah ayah saya untuk membesarkan kami adik beradik,” katanya di Facebook miliknya.

Selain perniagaan itu, Azmeer turut memiliki kedai gunting rambut, AY Barber Shop di Alor Setar, Kedah.

“Perniagaan ini saya niatkan untuk membayar gaji ustaz yang mengajar di rumah mengaji saya (di Alor Setar),” katanya.

“Rumah mengaji saya percuma. Saya tidak mengenakan sebarang bayaran. Al-Quran pun tak perlu bawa, saya sudah sediakan. Tempat ambil wuduk pun saya sudah sediakan. Tuan-tuan hanya datang bawa diri saja,” katanya.