Cipta Kejutan Di ‘Rumah Baharu’ JDT

JOHOR BAHRU: Kedah akan turun tanpa kelibat Farhan Roslan yang ced3ra apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Perkara itu disahkan pengendali skuad Lang Merah, Aidil Shahrin Sahak pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.

Malah, Aidil mengesahkan pemain yang digelar ‘Messi Kedah’ itu hanya akan kembali menjalani latihan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Semua pemain Kedah bebas daripada keced3raan kecuali Farhan dan persiapan kami berjalan lancar.

“Namun, kami mengakui akan berdepan tugas berat menentang JDT tatkala mereka beraksi di `rumah baharu’ mereka dan pasti mereka akan turun dengan habis-habisan,” katanya.

Ditanya mengenai padang stadium berkenaan yang menggunakan rumput dari jenis Zeon Zoysia berbeza dengan rumput `cow grass’ yang sering digunakan skuad Kedah, pengendali dari Singapura itu mengakui tidak mengetahui lebih lanjut tentang rumput baharu di stadium JDT itu.

Katanya, hanya ketika beraksi di padang pada perlawanan itu nanti, barulah pemainnya mampu menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan segalanya terserah kepada kepantasan pemain untuk sesuaikan diri

“Pemain sepatutnya tiada alasan ketika beraksi di padang yang berbeza dan kami akui ia adalah padang terbaik yang ada di Malaysia. Jadi, sudah tentu kami mahu memperaga aksi terbaik tatkala beraksi di padang terbaik di rantau Asia Tenggara dan kami kena ambil peluang itu,” katanya.

Aidil juga mengesahkan sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang skuad Harimau Selatan namun perlu memantau dalam tempoh 24 jam bagi memastikan tiada pemain yang mengalami masalah kesihatan atau kecederaan ketika sesi latihan terakhir.