Cheng Hoe ungkap perkara sebenar punca kekalahan skuad negara

Terlalu menghormati lawan antara punca mengapa skuad Harimau Malaya gagal mempamerkan aksi sebenar terutama pada babak pertama yang akhirnya menyaksikan pasukan negara tewas 0-3 di tangan Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, di sini.

Perkara itu disimpulkan oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang mengakui sekiranya pemain lebih berani untuk mengasak, keputusan lebih positif mungkin mampu diraih pasukan.

Katanya, apabila anak buahnya terlalu berhati-hati, akhirnya pasukan terpaksa bertahan sepanjang 45 minit babak pertama sekali gus memberi ruang terlalu besar buat skuad Naga Emas bergerak bebas mencipta serangan.

“Bukan satu kesilapan taktikal (kekalahan pasukan negara) tetapi pemain-pemain lebih berjaga-jaga pada perlawanan separuh masa yang pertama dan kita tahu mungkin pemain-pemain kita terlalu menghormati barisan Vietnam.

“Itu sebab sedikit sebanyak kita hari ini (malam tadi) berundur ke belakang terlalu banyak bertahan,” katanya mengulas mengenai pertembungan itu.

Ujar jurulatih berusia 53 tahun itu lagi, kecederaan ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak seawal minit ke-23 merencatkan lagi momentum pasukan yang akhirnya dibolosi menerusi Nguyen Quang Hai dan Nguyen Chong Phuong sebelum waktu rehat.

“Terlalu awal juga kita buat penggantian Aidil pada Dominic (memasukkan Dominic untuk menggantikan Aidil) dan itu sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukan.

“Sudah tentu dengan kemasukan dua pemain iaitu Kogi (R Kogileswaran) dan De Paula (Guilherme De Paula pada babak kedua), sedikit sebanyak memberi kita ruang untuk bergerak ke hadapan,” katanya yang membawa pasukan muncul naib juara pada edisi lalu.

Selain dua gol pada separuh masa pertama itu, Vietnam yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo turut berjaya menambah gol ketiga di hujung permainan hasil Nguyen Hoang Duc buat menghadiahkan mimpi ngeri kepada kem negara.

Dengan kekalahan itu, skuad negara kini berada di tangga ketiga Kumpulan B dan perlu mencatatkan kemenangan ke atas Indonesia untuk layak ke separuh akhir.

sumber : arena metro

Malaysia akan bertemu musuh tradisi itu Ahad ini yang akan dilangsungkan di Stadium Nasional Singapura.