Cheng Hoe bimbing Harimau Muda ?

Setelah melihat dua buah negara serantau iaitu Vietnam dan Thailand melantik ketua jurulatih skuad senior kebangsaan sebagai ketua jurulatih skuad muda (B-22/B-23), ramai peminat bola sepak tempatan mengusulkan perkara yang sama kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Samada jurulatih skuad senior Malaysia, Tan Cheng Hoe bakal dilantik atau tidak sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Muda menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang tamat kontraknya pada hujung tahun ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata semuanya akan terjawab pada bulan februari atau mac tahun depan.

Stuart juga menyatakan pemilihan Tan Cheng Hoe boleh menjadi kenyataan. 

Ia sekaligus bakal memudahkan peralihan pemain muda ke skuad senior dan memastikan penerapan corak permainan yang sama di antara kedua-dua skuad sebagaimana yang dilakukan oleh Vietnam dan Thailand.

“Keputusan untuk (melantik) jurulatih skuad B-22 itu akan dibincangkan dalam (mesyuarat) Jawatankuasa Skuad Kebangsaan pada Februari atau Mac depan.

“Saya mahu tambah di sini bahawa adalah tidak mustahil untuk ketua jurulatih skuad kebangsaan memikul (tanggungjawab dalam) pasukan B-22,” kata Stuart seperti dilaporkan oleh Stadium Astro.

Namun demikian, peminat harus menyedari Tan Cheng Hoe perlu menggalas tugasan yang penting bersama skuad senior sehingga jun depan. Ketika ini, Harimau Malaya perlu menghadapi tiga perlawanan berprofil tinggi iaitu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sasaran paling utama FAM pada ketika ini adalah memastikan skuad senior kebangsaan mara secara ke saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di China.

“Kita perlu sedar bahawa kami ada perjalanan yang amat penting bersama jurulatih Tan Cheng Hoe hingga Jun depan.

“Dan saya rasa kami perlu meletakkannya sebagai kepentingan dalam perbincangan dan keputusan yang akan dikeluarkan FAM,” tambahnya.

Ketika ini, Malaysia sedang menghuni tangga ke-2 Kumpulan G di belakang Vietnam. Untuk mara ke saingan Piala Asia 2023 secara automatik dan pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia, Malaysia sekurang-kurang menempatkan diri sebagai empat terbaik dalam kalangan naib juara kumpulan.