Membuat Keputusan Membatalkan Kontraknya

Pemain import Perak, Thierry Chantha Bin sepatutnya bermain dengan kelab elit Thailand, Sukhothai FC musim ini.

Menurut laporan The Star, pemain kebangsaan Kemboja itu telahpun menandatangani kontrak bersama kelab Divisyen Satu Liga Thailand itu setelah dilepaskan oleh Terengganu FC namun disebabkan mahu terus bermain di bumi Malaysia, dia membuat keputusan membatalkan kontraknya itu dan menyertai Perak.

“Ia adalah keputusan mudah kerana saya telah bermain dua tahun di Terengganu, saya cukup gembira, selesa berada di negara ini malah anak saya juga lahir di sini jadi saya mahu teruskan karier saya di Malaysia. Begitu juga dengan keluarga saya yang sangat sukakan negara ini, itu sebabnya kami buat keputusan ke Ipoh,” ujar pemain berdarah campuran Perancis itu.

Chantha Bin telah menjadi salah seorang tunjang kekuatan barisan tengah Terengganu FC selama dua musim dia bersama pasukan itu, dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara Piala Malaysia 2018 dan pada musim ketiganya di Liga Malaysia, dia mensasarkan pencapaian yang lebih baik.

“Walaupun masih baru bersama pasukan, saya cepat serasi dengan rakan sepasukan dan pantas dapat menyesuaikan diri. Hubungan di antara pemain cukup harmoni dan semangat sepasukan cukup utuh. Perak adalah sebuah pasukan berkualiti yang sentiasa dahagakan trofi dan saya akan berikan yang terbaik untuk membantu mereka memenangi setidak-tidaknya satu trofi,” ujar Chantha Bin yang mengakui teruja untuk bermain di bawah tunjuk ajar Mehmet Durakovic.

Sebagai rekod, pada musim lalu, Perak menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima dan mara ke final Piala FA namun gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia setelah langkahan mereka tersekat di peringkat suku akhir.

Skuad The Bos Gaurus akan membuka kempen Liga Super 2020 dengan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badakpada 29 Februari.