Cara Arsenal ‘pancing’ pemain potong gaji

LONDON: Pemain Arsenal dilaporkan bersetuju memotong gaji sebanyak 12.5 peratus – namun sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, setiap pemain akan menerima 500,000 pound (RM2.72 juta) jika berjaya merangkul Liga Juara-Juara 2021.

Walaupun sebelum ini mereka enggan bersetuju dengan pemotongan gaji namun akhbar Mirror mendakwa mereka mencapai persetujuan selepas ‘dipancing’ dengan beberapa bonus termasuklah memenangi trofi Eropah terbabit.

Mereka akan mendapat semula potongan 12.5 peratus itu sekiranya mereka berjaya layak ke Liga-Juara Juara musim hadapan.

Mereka kini menghuni tangga kesembilan liga selepas ketinggalan lima mata daripada pasukan di tangga kelima dan kejayaan mereka mara ke saingan elit itu akan menyaksikan mereka bukan sahaja mendapat semula gaji mereka tetapi turut diberikan bonus 100,000 pound (RM544,000) setiap seorang.

Bonus 500,000 pound (RM2.72 juta) juga akan menjadi milik pemain jika mereka berjaya menjadi juara Eropah musim hadapan tetapi berdasarkan rekod, mereka tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara dan final terakhir mereka pada 2006.

Jika mereka gagal ke Liga Juara-Juara, mereka masih tetap mendapat bonus 100,000 pound (RM544,000) seandainya bersaing dalam Liga Europa.

Pemain dan pengurus, Mikel Artera akan mengadakan pertemuan pada Rabu untuk mengesahkan persetujuan ini dan Arsenal akan menjadi pasukan pertama bersetuju dengan pemotongan gaji jika persetujuan ini dapat dicapai. -Agensi