Calon Pemain Kacukan Terbaru

Calon pemain kacukan terbaru skuad kebangsaan Vietnam, Filip Nguyen sudah sah akan turun beraksi dalam saingan kelayakan UEFA Europa League musim depan selepas kelabnya Slovan Liberec berjaya menewaskan FK Mladá Boleslav dalam perlawanan play-off beberapa hari yang lalu.

Filip Nguyen yang hebat diperkatakan bakal menguatkan skuad kebangsaan Vietnam dalam aksi antarabangsa tidak lama lagi sememangnya merupakan penjaga gol pilihan utama Slovan Liberec terutamanya musim ini dalam semua kejohanan yang disertai.

Aksi mantap serta konsisten pemain ini telah berjaya menarik perhatian Park Hang-seo sebagai pemain berstatus kacukan yang paling diberikan keutamaan untuk menyertai skuad itu tahun ini berdasarkan laporan media dari Vietnam.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua di FC Slovan Liberec dan juga penyokong kami. Terima kasih kerana menyokong dan percaya kepada kami.”

“Terima kasih juga kepada semua penyokong atas sokongan hebat kepada saya. (Vietnam) anda memang hebat!”

“Saya telah berjaya mencapai satu lagi impian layak ke pusingan kelayakan saingan UEFA Europa League.”

Selepas 3 tahun gagal melayakkan diri ke kejohanan peringkat itu, Slovan Liberec yang menamatkan musim ini dikedudukan ke-5 keseluruhan saingan bola sepak divisyen 1 Republik Czech, kini mereka mahu mencipta kejayaan yang lebih lagi untuk mara ke peringkat kumpulan UEFA Europa League.

Sekiranya semua proses dokumentasi berjaya diselesaikan dengan sempurna, Filip Nguyen dijangka akan menjadi pilihan utama penjaga gawang ketika Vietnam bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Oktober nanti.