Cabaran Sebenar Terengganu Menanti

Selepas mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu, pasukan Liga Super iaitu Terengganu akan meneruskan siri pra-musim mereka di Bangkok, Thailand.

Tiga perlawanan telah pun diatur dengan menentang dua pasukan dari Thailand serta satu dari China. Pra-musim tersebut akan bermula pada 30 Januari hingga 3 Februari 2020.

Menurut laman The Star Online, siri jelajah Thailand ini merupakan peluang terbaik untuk kesemua pemain import Terengganu diuji dengan ujian sebenar.

Hal ini kerana, sebelum ini mereka tiba dengan keadaan belum cergas sepenuhnya dengan Lee Tuck yang masih dalam proses untuk pulih ketika itu misalnya.

“Sebelum ini, pemain import yang tiba masih lagi dalam keletihan selepas mengharungi musim yang panjang bersama-sama bekas pasukan mereka.”

“Jadi aksi persahabatan di Kuala Lumpur adalah lebih kepada untuk mencari kecergasan pemain. Saya rasa kini sudah tiba masanya untuk mereka diuji dengan la wan yang lebih kuat,” kata jurulatih, Nafuzi Zain.

“Pasukan-pasukan di Thailand adalah cukup kompetitif dan ianya dapat memaksa para pemain untuk berikan yang terbaik dalam perlawanan ini.”

Terengganu akan berhadapan dengan Police Tero diikuti dengan Suphanburi sebelum bertemu dengan Tianjin Teda pada perlawanan terakhir jelajah.