‘bye-bye’ Kedah

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) diberi tempoh sehingga 12 Ogos ini untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji atau kemungkinan beraksi tanpa khidmat tiga tonggak import apabila Liga Malaysia (Liga-M) bersambung pada hujung bulan ini.

Tampil mendedahkan secara ekslusif kepada Arena Metro, peguam ketiga-tiga pemain skuad Helang Merah, Zhafri Aminurashid berkata anak guamnya itu sudah memulakan langkah menuntut tunggakan gaji selama lima bulan kepada KFA.

Jelas Zhafri, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan gaji pada 29 Julai lalu dan berdasarkan peraturan sedia ada, KFA diberi masa selama 15 hari untuk membayar atau cuba mencapai kata sepakat dengan anak guamnya.

Kita dah hantar surat kepada KFA untuk mereka menyelesaikan tunggakan atau mencapai kata sepakat dengan pemain.

Tiga pemain itu adalah tonggak import dan saya buat masa ini saya tak boleh dedahkan siapa. Cuma yang saya boleh sahkan, kami sudah menghantar surat tuntutan kepada pengurusan pasukan. Berdasarkan peraturan, KFA ada 15 hari untuk selesaikannya.

Sekiranya 12 Ogos ini pemain tidak menerima pembayaran penuh atau penyelesaian secara bersama, pemain boleh membatalkan kontrak secara sebelah pihak dan tidak perlu turun berlatih dan sertai perlawanan.

Malah, KFA juga kena bayar baki gaji sehingga habis musim seperti mana yang terkandung dalam kontrak walaupun tidak lagi bersama pasukan kerana pemain menamatkannya secara sebelah pihak, katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Jelasnya lagi, pihaknya akan turut mengheret isu ini ke pengetahun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seandainya gagal mencapai persetujuan dengan KFA.

Ini (surat tuntutan kepada KFA) adalah langkah pertama. Memandangkan ketiga-tiga mereka adalah pemain import, kita tidak teragak-agak akan mengambil langkah kedua dengan bawa ke FIFA, katanya.

Sebelum ini, pengurusan baharu KFA yang kini diterajui oleh Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor mengakui terpaksa menanggung bebanan hutang RM10.6 juta yang perlu dilunaskan kepada pemain dan pegawai yang tidak menerima gaji sejak Mac lalu.

Tambah memeritkan apabila Sanusi mengakui enggan menggunakan duit kerajaan negeri dalam menyelesaikan tunggakan pemain dan pegawai.

Difahamkan, Sanusi sudah mempunyai penaja untuk membantu meringankan beban pasukan dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.