Bukan ‘Tangkap Muat’

PEMILIK kelab KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan mendedahkan penghijrahan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin ke Belgium bukan sekadar ‘tangkap muat’ semata-mata.

Sebaliknya, Vincent menegaskan, beliau merancang modul untuk menjadikan Luqman Hakim seorang pemain lebih relevan dan ideal ketika menyarungkan jersi kelab yang dikenali nama jolokan The Guys itu.

“Saya ada beberapa perancangan atau modul membantu Luqman Hakim menyesuaikan diri sebaik dia tiba di Belgium nanti. Antara modul itu adalah Luqman Hakim akan mengikuti kelas bahasa Inggeris.

Ini bukan sahaja memudahkannya berkomunikasi dengan rakan-rakan sepasukan, malah membantu Luqman Hakim mengadaptasi lebih cepat suasana ketika berada di sana.

“Saya sendiri akan membantu Luqman Hakim. Saya mahu Luqman Hakim akan menjadi contoh bagus kepada pemain-pemain tempatan yang lain dan saya mahu memastikan jika boleh dia kekal lebih lama di Eropah.

“Misi Luqman Hakim menyertai KV Kortrijk bukan semata-mata belajar dalam sesi latihan sahaja tetapi dia harus pantas menyesuaikan diri di mana saya percaya Luqman Hakim mampu lakukan jika diberi segala ruang,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Vincent Tan
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Vincent yang juga hartawan terkenal Malaya memberikan jaminan kepada Luqman Hakim yang dilihat memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.

Dalam masa sama, pengasas Berjaya Corporation itu menegaskan bahawa modul yang dibekalkan kepada Luqman Hakim nanti turut menekankan aspek mentaliti.

“Persiapan mental akan turut ditekankan kerana ini salah satu jati diri sebagai seorang pemain profesional. Saya berharap dengan modul-modul yang disediakan dalam dan luar padang, ia akan membantu Luqman Hakim untuk menjadi seorang pemain yang lebih lengkap.

Artikel Penuh : SH

“Saya mahu memastikan Luqman Hakim bukan hanya duduk memanaskan bangku simpanan pemain tetapi dia juga akan bermain walaupun diturunkan sebagai pemain gantian.

“Ini kerana saya mahu Luqman Hakim menimba pengalaman dan memanfaatkan peluang bermain setiap kali diturunkan demi kepentingan karier dan negara pada suatu hari nanti,” katanya.