Bukan sebab rindu awek

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar menolak dakwaan segelintir pihak yang menyalahkan soal kekasih dan rindukan masakan tempatan punca pemain bola sepak negara tidak kekal lama di luar negara.

Jelas Safirul, dilema sebenar yang sering menghantui pemain adalah berkaitan tawaran gaji yang rendah.

Katanya, perbezaan ketara antara gaji yang ditawarkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebenarnya cukup lumayan yang menyebabkan pemain mudah goyah dan mahu pulang ke tanah air berbanding kekal di luar negara.

Tambahnya, beliau yakin peny3rang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin yang berjaya mengikat kontrak bersama kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK) tidak akan mengulangi skrip pemain terdahulu dan mampu kekal lebih lama di Eropah.

“Benda paling penting adalah untuk memastikan gajinya (Luqman) masih berada pada tahap yang ‘OK’ supaya dia tak balik ke Malaysia.

“Kalau bagi (gaji) rendah, itulah satu sebab dia akan lebih tertarik nak ke (pulang) Malaysia. Soal makanan atau wanita bagi saya bukan penyebab tetapi adalah sebab gaji.

“Macam kita juga, kalau diberi gaji yang kecil adakah kita akan kekal sedangkan ada pihak lain yang nak tawarkan gaji lebih besar. Sudah tentu kita akan ambil gaji lebih besar sebab nak hidup ini kita perlukan duit untuk dapat keselesaan,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, Luqman muncul pemain tempatan pertama beraksi dalam liga utama Eropah selepas mengikat kontrak dengan KVK selama lima tahun.

Dia yang baharu berusia 18 tahun difahamkan meraih pendapatan sekitar RM15,000-
RM25,000 sebulan disamping disediakan sebuah rumah oleh pengurusan kelab.

Selain itu, penyerang kebangsaan itu bakal menerima elaun-elaun lain seperti elaun perlawanan dan latihan serta akan menikmati kenaikan gaji seandainya berjaya menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Pemain-pemain lain sebelum Luqman yang ke luar negara terus terang saya tak tahu apa isi kontrak mereka. Adakah bermain secara pinjaman atau adakah atas kerjasama kedua-dua pasukan untuk mengikuti latihan.

“Tetapi Luqman ini berbeza kerana dia menerima tawaran kontrak seperti mana kelaziman pemain-pemain Eropah di luar sana ditawarkan kontrak profesional bersama sebuah kelab yang besar seperti KVK.

“Permintaan dari kelab luar sememangnya ada seperti di Thailand, tapi macam saya katakan tawaran gaji rendah,” katanya.