Bukan kerana status untuk berasa selesa dalam skuad badak

Penjaga gol baharu Sabah, Khairul Fahmi Che Mat tidak menjadikan statusnya selaku pemain lebih berpengalaman sebagai tiket untuk berasa selesa di posisi benteng terakhir skuad itu.

Sebaliknya, bekas penjaga gol Melaka United dan Kelantan itu menyifatkan persaingan tetap sengit bagi merebut tempat dalam skuad utama musim ini.

Selain Khairul Fahmi, bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC iaitu Damien Lim antara yang turut dipanggil menyertai skuad Sabah, sekali gus akan menghadirkan pertarungan sengit antara mereka untuk merebut posisi penjaga gol utama.

Namun, Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek menganggap Damien juga pemain berkualiti yang berjaya mencuri perhatian pengendali, Datuk Ong Kim Swee untuk memperkuatkan gawang pasukan itu.

“Saya setuju dengan apa yang pernah dikatakan oleh Damien di mana ia akan menjadi persaingan yang sengit antara kami dan juga penjaga gol lain untuk merebut tempat.

“Apabila kita berada dalam satu pasukan yang sama, semua pemain akan bersaing bersungguh-sungguh dan ini sebenarnya akan menjadi motivasi kepada saya juga.

“Sudah tentu, saya juga kena bekerja lebih keras untuk memastikan posisi dalam kesebelasan utama dan tidak boleh ambil mudah dalam setiap perlawanan”, katanya.

Dalam masa sama, Apek menjelaskan keputusannya untuk berhijrah ke Sabah disebabkan kredibiliti yang ada pada diri Kim Swee selain teruja dengan kehadiran pemain lain seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.

Malah, dia turut meletakkan sasaran peribadi untuk membantu Sabah mendapatkan pencapaian yang belum pernah diraih terutamanya di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.

“Semestinya saya ingin mencapai sesuatu dengan Sabah yang mana belum pernah lagi mereka capai, dan saya ingin menjadi sebahagian sejarah baharu dengan Sabah

sumber : BH.

“Cuma kita kena ingat dengan kehadiran pemain baharu yang lain ke Sabah, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan yang tinggi tetapi jika diberi masa, saya percaya kami mampu buat terbaik untuk membanggakan penyokong Sabah pada musim ini,” katanya.