Buat pertama kali dalam sejarah

Malaysian Football League (MFL) akhirnya mengumumkan kalendar liga bagi musim 2020 yang bakal bermula pada 28 Februari ini dan tamat pada Julai 2020.

Buat pertama kali dalam sejarah, JDT akan memulakan pertembungan Piala Sumbangsih bertemu Kedah selaku juara bertahan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Selangor akan bertandang ke Kuantan untuk pertemuan pertama menentang Pahang pada 29 Feb, diikuti Perak yang berkunjung ke Terengganu dan Melaka bertemu pendatang baharu UiTM FC.

Dua perlawanan lagi akan berlangsung pada 1 Mac, iaitu PDRM bertemu Sabah dan Felda United bertemu PJ City FC.

Namun Selangor berdepan cabaran getir apabila bertemu Perak pada perlawanan kedua liga (7 Mac), Terengganu (11 Mac) dan Kedah pada 15 Mac.

MFL bagaimanapun hanya mengumumkan sehingga perlawanan ke-11 liga iaitu 13 Mei kerana perlu mengambil kira jadual AFC Champions League 2020, pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Piala AFF 2020, Piala FA dan kalendar FIFA.

Liga juga bermula agak lambat kerana perlu mengikut pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) bagi memastikan segala prosedur dipatuhi oleh semua pasukan setelah mengemukakan pelan perbelanjaan dan pendapatan sebelum boleh mendaftarkan pemain.

Bagi undian Piala FA, pusingan ketiga dijadualkan pada 19 Mac manakala undian suku akhir pada 16 April dan perlawanan liga ke-12 hingga ke-22 akan dikemaskini.

Pada masa sama, kira-kira tujuh minggu akan melibatkan saingan pada bulan Ramadan, bermula dari perlawanan liga ke-8 hingga ke-13 serta perlawanan suku akhir pertama Piala FA.

Walaupun liga bermula pada 28 Februari, JDT akan memulakan saingan dalam AFC Champions League pada 12 Februari manakala Kedah akan memulakan pusingan kelayakan lebih awal iaitu pada 21 Jan menentang Tai Po dan jika layak, mereka perlu bertemu FC Seoul pada 28 Jan.

Liga akan berhenti seketika selepas 15 Mac bagi memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang mana, Malaysia akan bertemu UAE pada 26 Mac dan Vietnam pada 31 Mac.

Jadual dilihat agak padat tetapi ini adalah salah satu cabaran yang bakal dihadapi setiap pasukan menjelang musim 2020.