Brendan & Coach Satia hampir bergabung di Felda United

Beberapa tahun lalu, pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan dan B. Satiananthan hampir-hampir bekerjasama di Felda United Football Club (FUFC) namun ianya tidak menjadi kenyataan.

Menurut laporan New Straits Times, kedua-dua pihak iaitu Brendan dan FUFC telah mengadakan perbincangan pada musim 2017 namun usaha untuk membawa pemain kacukan Australia-Malaysia ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka tidak menemui jalan persetujuan.

Tetapi gandingan pemain yang sedang dalam prestasi kemuncak dan jurulatih berpengalaman ini akan dapat disaksikan bersama pasukan Selangor dalam kancah bola sepak tempatan pada musim depan.

“Coach Satia dan saya hampir bekerjasama beberapa tahun lalu, tetapi ianya tidak berlaku. Sangat bagus untuk berada di bawah bimbingannya lebih-lebih lagi dia telah terbukti sebagai seorang jurulatih yang bagus,” kata Brendan seperti dipetik daripada New Straits Times.

Selain daripada memiliki jurulatih yang disifatkannya antara terbaik dalam kancah Liga Malaysia, status pasukan Selangor sebagai pasukan besar di Malaysia juga menjadi sebab beliau menurunkan tandatangannya bersama skuad Gergasi Merah.

Tambahan pula, Brendan mahu bersama-sama merealisasikan cita-cita besar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terutamanya pihak pengurusan yang mahukan Red Giants mencabar kejuaraan serta mara ke kejohanan peringkat asia. 

“Jika ada pihak menanyakan kenapa saya ke sini (Selangor), saya beritahu sebab utamanya adalah mereka merupakan pasukan besar dalam negara yang telah memenangi banyak kejuaraan dan trofi…dan saya ingin melakukannya bersama mereka.”

Jangkaan tinggi bakal diletakkan di atas bahu Brendan Gan pada musim depan sesuai dengan statusnya sebagai antara pemain terbaik di Malaysia pada ketika ini.  Tetapi bekas pemain Perak ini sedia maklum akan jangkaan tersebut dan mengambilnya sebagai cabaran untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

sumber: foxsports

“Setiap kelab mempunyai tekanan tersendiri, tetapi itulah yang akan meningkatkan (prestasi) saya, termasuk ketika saya beraksi bersama skuad kebangsaan. Harapnya, saya akan bermain dengan baik, tingkatkan permainan saya dan meraih beberapa piala semasa saya di sini,” tambahnya lagi.

Selain itu, Brendan turut mengalu-alukan persaingan daripada rakan-rakan sepasukan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Beliau bersedia untuk bersaing dengan nama-nama seperti Safuwan Baharudin, Sandro Da Silva, K. Sarkunan dan Halim Saari bagi mengisi peranan selaku ‘enjin’ tengah Selangor.