Brad Maloney menegaskan keputusan

Kuala Lumpur: Kekalahan besar yang dialami skuad bawah 19 tahun (B-19) dalam dua aksi persahabatan sebelum ini seharusnya tidak menjadi ‘kudis’ dan menjejaskan fokus pemain.

Ini kerana pengendalinya, Brad Maloney menegaskan keputusan bagi perlawanan persahabatan tidak menjadi keutamaan buat masa ini, sebaliknya tumpuan lebih untuk melihat kesediaan pemain untuk mencabar diri sendiri dan beraksi pada tahap yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, dia menuntut anak buahnya untuk memperagakan aksi yang lebih kemas pada satu lagi aksi persahabatan bertemu skuad bawah 21 tahun (B-21) Negeri Sembilan di Bukit Jelutong, petang ini.

“Keputusan perlawanan tidak begitu penting kerana objektif utama untuk menguji pemain beraksi di tahap yang lebih tinggi dan lebih mencabar mereka daripada segenap segi sekali gus memberi peluang untuk belajar.

“Kita akan menentang satu lagi pasukan senior esok (hari ini). Jadi saya mahu lihat peningkatan daripada beberapa perlawanan yang sudah diharungi sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang PKNS, hari ini.

Sebelum ini, skuad B-19 tewas 6-1 di tangan pasukan Liga Super, PJ City FC dan tunduk 4-0 di tangan pasukan Liga Perdana, Selangor II.

Dalam perkembangan sama, Maloney mengesahkan semua pemain masih lagi kekal dan tidak ada yang digugurkan namun beberapa pemain perlu diketepikan seketika kerana mengalami kecederaan.

“Semua pemain masih bersama kita untuk meneruskan sesi latihan seperti yang dirancang. Ada beberapa pemain yang mengalami keced3raan tetapi ia tidak begitu serius,” katanya.