“Boleh Tetapi Jangan Melampau Dan Perlu Ada Persetujuan Jurulatih!”

KUALA LUMPUR: “Boleh potong gaji tetapi jangan melampau dan perlu ada persetujuan jurulatih!”

Itu peringatan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan kepada mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) yang berhasrat mengenakan pemotongan gaji kepada ahlinya susulan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kenyataan Sathianathan itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa jurulatih bersedia menerima pemotongan gaji namun biarlah ia dapat memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Menurut jurulatih Selangor itu, PJBM terbuka kepada pintu rundingan membincangkan mengenai jumlah pemotongan gaji selaras dengan garis panduan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun ia mestilah dibuat dengan pertimbangan yang wajar dan mengikut prosesnya.

“Kita (PJBM) tiada masalah kalau pasukan mahu adakan perbincangan untuk rundingan pemotongan gaji namun apa yang penting pemotongan yang dikenakan itu mestilah berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak.

“Kita juga mengharapkan pemotongan yang dicadangkan itu tidaklah begitu melampau dan dibuat mengikut tangga gaji jurulatih itu. Kalau besar gajinya, bolehlah dipotong besar dan kalau kecil, potonglah mengikut kewajaran.

“Pasukan perlu memahami jurulatih pun ada komitmen yang perlu dipenuhi. Sebab itu kalau mahu kenakan pemotongan gaji, biarlah ia dipertimbangkan dalam banyak aspek termasuk tanggungan jurulatih, tempat tinggal mereka dan sebagainya.

“Kita pun ada dengar gaji beberapa jurulatih sudah dipotong kerana isu COVID-19. Apapun, kalau ada jurulatih yang tidak berpuas hati dengan pemotongan yang dikenakan, kita akan cuba bantu mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sathianathan menjelaskan pemotongan gaji pasti tidak memberikan ‘ketakutan’ kepada jurulatih ataupun pemain sekiranya pembayaran gaji sentiasa lancar dan tidak tertunggak.

“Kalaulah industri bola sepak kita sihat dan tiada langsung tunggakan gaji, saya yakin jurulatih mahupun pemain tiada masalah memotong gaji kerana mereka percaya pasukan akan tetap menjalankan tanggungjawab,” katanya.