boleh tarik nafas lega

Penyokong Kelantan yang bimbang terhadap nasib pasukan mereka sama ada dibenarkan atau tidak untuk beraksi di Liga Premier 2020 kini boleh menarik nafas lega.

Pasukan itu sebelum ini dilaporkan berada dalam ketidaktentuan kerana berdepan kemungkinan lesen ditarik balik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akibat kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji.

Menurut sumber kepada Foxsports, “Rintangan paling besar buat KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) adalah hutang yang perlu dibayar kepada Morgaro Gomis. Jumlah yang perlu dibayar kepadanya adalah lebih dari RM550,000 dan FIFA telah memberikan satu tempoh kepada KAFA untuk menyelesaikannya.

“Jika tidak bayar FAM tidak boleh beri kita lesen, bermakna Kelantan akan disingkirkan ke Liga M3 dan FAM sendiri akan kena denda. Berkat usaha daripada Presiden dan pucuk pimpinan, serta FAM juga ada membantu, semua telah bekerja keras sejak berbulan lamanya dan hutang Gomis itu telah dapat diselesaikan bermakna KAFA telah menangani penghalang utama dalam soal pelesenan.”

Sebagai rekod, Morgaro Gomis merupakan pemain import yang dibawa masuk ketika musim 2016 tetapi disingkirkan pada pertengahan 2018 bersama-sama beberapa pemain tempatan lain seperti Khairul Fahmi Che Mat, Badhri Radzi, Amiridzwan Taj ketika di bawah pimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan.

Tunggakan gaji pemain-pemain itu beserta pemain tempatan lain sejak dari tahun 2016 antaranya Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak dan Norfarhan Mohamad bagaimanapun belum diselesaikan.

“Hutang-hutang lain juga KAFA tidak lepas pandang, seperti telah kita maklumkan kepada FAM satu persatu ia akan diselesaikan mengikut keutamaan cuma apa yang diperlukan adalah masa,” ujar sumber itu lagi.