Bola kini di kaki FAM, MFL

KUALA LUMPUR: Ketika Pahang setuju Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan, rata-rata pasukan lain pula mengambil pendekatan tunggu dan lihat tindakan yang bakal diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan masa depan perjalanan liga musim ini.

Ia susulan FAM dan MFL masih belum membuat sebarang keputusan adakah saingan musim ini akan disambungkan atau dibatalkan terus susulan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustafa menjelaskan pihaknya terbuka menerima apa saja keputusan daripada FAM dan MFL.

“Kami serah kepada FAM dan MFL, kalau nak teruskan tak apa dan kalau nak batalkan pun tak apa. Sebab kalau batal pun kita tetap kena bayar pemain.

“Cuma kita harap FAM dapat mencari satu formula, maknanya kalau liga batal, apa yang perlu kita buat dalam menyelesaikan isu pembayaran dengan pemain,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan pihaknya masih menanti keputusan FAM dan MFL untuk mengambil langkah seterusnya.

“Kita tak buat keputusan lagi, tapi kita boleh gambarkan kalau bermain tanpa penonton, kita tiada dana atau sumber pendapatan yang kuat. Sebab kalau kita nak harap penaja, berapa peratus saja, hasil kutipan tiket yang kita nak.

“Kelantan satu pasukan yang harapkan dana penaja dan kutipan tiket kerana kami tidak menerima bantuan daripada pihak lain seperti kerajaan negeri dan sebagainya,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Mohd Ashiq Abd Samad secara peribadi berkata: “Saya fikir dalam keadaan COVID-19 ini kita perlu lebih utamakan faktor kesihatan. Namun, terpulang kepada keputusan MFL. Kalau teruskan liga ada tanpa penyokong ada impaknya dan kalau batalkan pun ada kesannya.

“Apa yang penting ketika ini FAM dan MFL perlu buat keputusan awal sama ada liga diteruskan atau dibatalkan. Ia bagi memudahkan semua pasukan merangka persiapan.

“Ia kerana kita ada pemain dan pegawai pasukan yang ada kontrak dan kita tak boleh batalkan. Lagi lambat FAM buat keputusan, lagi rumit keadaan pasukan. Contohnya di Melaka United kita memerlukan kira-kira RM1.5 juta sebulan untuk kos (gaji) pemain dan pegawai termasuk skuad senior hingga ke skuad belia.

“Tapi daripada pandangan peribadi saya, lebih baik tak diteruskan liga. Kita fokus musim 2021 dan FAM fokus bagaimana nak bantu pasukan selesaikan masalah dengan pemain dan pegawai pasukan.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim turut berkata pihaknya masih belum mengadakan perbincangan untuk menetapkan pendirian sama ada mahu liga diteruskan atau dibatalkan.