Bikin Panas Pemain Kedah

AKAUN Facebook (FB) penyokong Kedah yang dikenali ‘Pak Kob Tiki Taka’ jelas membuatkan barisan pemain skuad Helang Merah itu menjadi ‘panas’ dengan pemilik akaun terbabit.

Menerusi paparan di Instagram Story beberapa pemain utama Kedah menyaksikan mereka meminta supaya pemilik akaun itu menghentikan cerita berkenaan pasukan yang disifatkan tidak betul.

Malah, ada pemain yang turut mengajak Pak Kob untuk bersemuka dengan semua pemain seperti yang diluahkan penyerang pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak.

“Alahai Pak Kob Tiki Taka, kencing (menipu) pemain dah lah…jangan kencing penyokong Kedah plak.

“Cakap kat FB mcm hebat sangat, mai jumpa kami depan-depan kalau hang tau semua cerita. Jangan jadi penghasut!!,” kata Zaquan.

Luahan sama turut dikongsi pemain lain seperti ketua pasukan Baddrol Bakhtiar, Azamuddin Akil, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, Shakir Hamzah dan Farhan Roslan.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, admin FB berkenaan kerap memuatnaik dan berkongsi cerita mengenai situasi pasukan Kedah yang ketika ini sedang berdepan dengan isu tunggakan gaji.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) didakwa masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain sejak Februari lalu.

sumber: HM

Walaupun difahamkan KFA sudah menjelaskan hampir 60 peratus bagi gaji bulan Februari, namun baki 40 peratus serta gaji penuh bulan Mac dan April terus menjadi tanda tanya buat pemain-pemain Kedah.