Bersetuju Melepaskan

Pasukan Melaka bersetuju melepaskan pemain import kelima kelahiran Thailand, Narupon Wild Putsorn menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) yang akan disambung semula 26 Ogos ini.

Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, skuad Hang Tuah tiada halangan melepaskan pemain pertahanan berusia 31 tahun itu kerana ia atas kerelaannya sendiri.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketiadaan pemain yang lebih mesra disapa Nazza itu memberi kesan kepada benteng pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

“Apapun, kami mengalu-alukan sebarang perbincangan lanjut dengan Nazza jika dia masih berminat bersama pasukan.

“Namun, yang jelas dia sudah menarik diri, cuma belum ada hitam putih berkaitan perkara terbabit tetapi pada dasarnya kedua-dua pihak sudah bersetuju,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengikat Nazza yang pernah beraksi di Liga Thai 1 bagi mengisi import kelima kuota ASEAN.

Nazza memulakan kariernya di Thailand bersama Bangkok United pada 2013 sebelum menyertai beberapa kelab terkemuka negara itu termasuk Songkhla United, BBCU, Buriram United, Suphanburi dan Nakhon Ratchasima.