Berita Gembira Buat Penyokong Setia JDT

Johor Darul Takzim (JDT) meletak keyakinan tinggi mereka akan melakukan sepak mula musim 2020 di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, Seri Iskandar, di sebalik laporan mengatakan stadium itu belum mendapat kelulusan untuk digunakan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan memberitahu badan-badan pengelola bolasepak iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysian Football League (MFL) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan mengadakan pemeriksaan akhir di stadium itu pada 18 dan 19 Februari ini.

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin menyatakan bahawa Stadium Sultan Ibrahim akan mengadakan proses…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, 12 February 2020

“Pemeriksaan adalah untuk meluluskan penggunaan stadium baharu ini dalam pertandingan Liga Malaysia dan juga Liga Juara-Juara AFC. Kerja-kerja akhir untuk memenuhi keperluan teknikal juga hampir siap,” kata Alistair. 

Terdahulu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata JDT belum boleh menggunakan stadium baru mereka yang berkapasiti 40,000 tempat duduk itu kerana masih ada beberapa spesifikasi perlu dipenuhi. 

Justeru, Windsor berkata sekiranya spesifikasi itu tidak dapat dipenuhi menjelang tarikh sepak mula musim baru, JDT berkemungkinan perlu bermain di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin dalam beberapa aksi awal.

Mengikut jadual, JDT akan melayani kunjungan Kedah dalam aksi pertama Liga Super 2020 yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Februari dan kemudiannya berdepan pasukan dari Korea Selatan, Suwon Bluewings dalam aksi kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 3 Mac.