Berita Gembira Buat Penyokong Kedah

PERSATUAN Bolasepak Kedah(KFA) mengesahkan hanya 300 tiket tambahan diberikan Johor Darul Ta’zim untuk penyokong skuad Lang Merah menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.

Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Shamsudin berkata,jumlah keseluruhan yang diterima pihaknya pada perlawanan terbabit adalah 800 tiket berbanding sebelum ini hanya 500.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini mengemukakan rayuan penambahan 500 tiket bagi menampung permintaan tinggi daripada penyokong Kedah.

“Saya dimaklumkan Kedah menerima tambahan 300 tiket lagi bagi penyokong kami menyaksikan perlawanan terbabit.

“Terima kasih kepada pengurusan JDT yang mempertimbangkan rayuan untuk memohon lebih banyak tiket bagi penyokong Kedah,” katanya ketika ditemui pada majlis undian pusingan kedua Piala FA 2020, di sini.

Sebelum ini, MFL mengesahkan sudah menerima salinan surat dari KFA berhubung permintaan tiket bagi perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan JDT menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan berkata surat permintaan KFA sudah diterima mengenai permintaan persatuan itu untuk mendapatkan 1,000 keping tiket yang akan dijual kepada penyokong Kedah yang mahu menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih berkenaan.

“Untuk makluman, MFL ada manual yang ditetapkan berhubung pembahagian tiket untuk penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat. Ada tiga kategori yang ditetapkan.

sumber: HM

Megikut kategori yang ditetapkan itu, stadium yang bawah kapasiti penonton 20,000, tuan rumah boleh memberi tiket kepada pasukan pelawat hanya 300 tiket sahaja.

Selain itu, stadium yang berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksima 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000, jadi KFA mungkin akan dapat 500 tiket sahaja.

Setakat ini, JDT masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai permintaan tiket untuk aksi Jumaat ini dan berharap usaha untuk mendapatkan 1,000 tiket untuk dijual kepada penyokong skuad Lang Merah berhasil.

Namun dengan penjelasan MFL itu, kemungkinan hasrat KFA mendapat kuota 1,000 keping tiket tidak kesampaian dan mungkin hanya 500 keping tiket bakal disediakan .