Berita Gembira Buat Penyokong Kedah

ALOR SETAR: Penjaga gol Kedah, Shahril Saa’ri sudah sedia menggalas tugas apabila dikhabarkan boleh kembali beraksi selepas menjalani penggantungan akibat kad merah pada dua perlawanan awal Liga Super musim 2020.

Berita ini pastinya menyuntik suasana lebih bersemangat dalam kalangan penyokong Kedah yang mahu melihat Shahril kembali beraksi selepas kali terakhir berbuat demikian pada saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang FC Seoul Januari lalu.

Menurut Shahril, beliau sudah menjalani penggantungan kad merah tahun lalu pada dua aksi pertama iaitu ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Sumbangsih, 28 Februari dan menentang Terengganu FC (TFC) Sabtu lalu.

“Jika diikutkan penggantungan kad merah yang saya terima pada tahun lepas ini sudah tamat selepas saya menjalani dua perlawanan pada awal musim ini. Jika tidak ada apa-apa tambahan saya sudah boleh beraksi kembali.

“Sekiranya saya dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai penjaga gawang utama oleh jurulatih pastinya saya mahu beri aksi yang terbaik untuk membantu Kedah mendapatkan tiga mata di tempat lawan,” katanya.

Shahril yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 Sabtu lalu turut mengingatkan rakan seperjuangannya agar tidak mudah berputus asa atas kekalahan dialami pasukan pada dua perlawanan sebelum ini, sebaliknya kekal fokus untuk memburu tiga mata pertama.

“Dua kekalahan dialami itu menjadi pengajaran sangat berguna buat pasukan agar bangkit dengan lebih bersemangat mencari kemenanagan pada perlawanan seterusnya.

“Kedah belum mendapat sebarang kemenangan sejak bermulanya Liga Super musim ini dan perlawanan seterusnya adalah yang terbaik untuk mencapainya.

“Saya yakin siapa pun dipilih bagi memikul tanggungjawab beraksi menentang skuad UiTM FC Rabu ini pasti mahukan aksi dan usaha terbaik untuk memastikan tiga mata milik Kedah,” katanya.