Berita Gembira Buat Peminat JDT

Syarikat penerbitan yang berpengkalan di Singapura iaitu 108 Media dipilih sebagai pemegang hak jualan untuk siri dokumentari khas Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu “Fearless: Rise of the Johor Southern Tigers.”

Dokumentari ini difilemkan sejak 2019 dan diarahkan oleh Leon Tan (produser “War of the worlds: Goliath”) bersama pengarah filem terkemuka, Tony Pietra Arjuna.

Ia mempunyai 5 episod menceritakan tentang kisah perjalanan JDT sehingga menjadi sebuah kelab bola sepak yang berjaya di Asia.

Berdasarkan carian di internet, 108 Media juga mempunyai hubungan kerjasama dengan beberapa syarikat penyiaran antarabangsa dan kemungkinan akan ditayangkan di saluran Netflix, HBO dan Astro.

Ini adalah dokumentari yang wajib ditonton oleh para peminat bola sepak tempatan untuk mempelajari bagaimana pengurusan JDT berfungsi, pembinaan stadium baharu dan juga kehebatan penyokong setia mereka, “Boys of Straits”.

“Ada yang mempersendakan impian kami tetapi siri sebalik tabir eksklusif ini akan memperlihatkan apa yang sebenarnya berlaku di Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan bagaimana kami telah menjadi sebuah kuasa yang perlu diberi perhatian.

“‘Fearless’ memperlihatkan rakaman yang tidak pernah dilihat tentang bagaimana Harimau Selatan menjadi sebuah empayar, kesukaran dan kejayaan, bagaimana kelab diuruskan jauh dari mata umum dan apa yang mendorong keinginan tidak terhingga kami untuk mengejar kejayaan, di dalam dan luar padang,” kata kenyataan daripada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.