Berita Gembira Buat Peminat Liga Malaysia (Liga M)

KUALA LUMPUR: Adakah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini berpeluang disambung semula lebih awal daripada perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atau terus kekal mengikut tarikh asal pada September?

Ini kerana situasi semasa yang menyaksikan pandemik COVID-19 semakin menunjukkan perkembangan positif, sekali gus seakan memberi isyarat terbaik supaya saingan bola sepak juga boleh kembali lebih awal seperti industri lain yang sudah pun dibuka secara berperingkat.

Mengulas mengenai perkara itu, pemerhati bola sepak, Dr Zulakbal Abd Karim berkata FAM dan MFL boleh mempertimbangkan cadangan itu secara serius memandangkan situasi kini dilihat lebih baik berbanding sebelumnya.

“Penularan pandemik COVID-19 ini adalah satu perkara luar biasa dan menuntut kita mengambil langkah yang luar biasa juga. Perancangan awal untuk memulakan kembali saingan pada September dibuat kerana keadaan yang tidak begitu baik sebelum ini.

“Namun kalau kita lihat sekarang, kita boleh nampak situasi COVID-19 agak baik. Jadi FAM dan MFL boleh mengadakan rundingan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengutarakan cadangan supaya saingan liga boleh bermula lebih awal.

“Kalau dapat bermula pada Ogos, saya berpendapat itu sudah cukup baik. Pasukan ada kira-kira enam ke lapan minggu untuk berlatih dan saya rasa itu tiada masalah kerana kebanyakan pasukan sudah mula berlatih sejak minggu lalu,” katanya.

Sebagai rekod, MFL sebelum ini merancang untuk menyambung kembali Liga Super serta Liga Perdana bermula 1 dan 2 September dan berakhir pada 26 dan 27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja tanpa kehadiran penonton.

Saingan Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 Oktober 2020 dengan formatnya akan dirombak iaitu tiada saingan peringkat kumpulan dan perlawanan diadakan secara kalah mati manakala Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa ‘dikorbankan’ kerana kesuntukan masa.

Dalam masa sama, Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melihat saingan liga yang bermula lebih awal pasti memberi ruang yang lebih baik untuk skuad kebangsaan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe melakukan persiapan sebelum mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini.

“Katakanlah saingan liga dapat bermula pada Ogos mengikut format separuh liga seperti dicadangkan, maka ia pun akan berakhir lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini

“Sudah tentu ruang ini dapat memberi masa yang lebih banyak kepada Cheng Hoe untuk menyiapkan pasukan bagi mengharungi tiga aksi penting terbabit. Secara tidak langsung perkara ini dapat memberi impak positif kepada skuad kebangsaan,” katanya.