Berita Amat Mengejutkan

Berita penarikan diri FELDA United dari kancah bolasepak Liga Malaysia (Liga M) mulai musim depan semalam amat-amat mengejutkan saya. Emosi saya bercampur-aduk, sedih, pilu, terkilan dan macam-macam lagi.

Bagi saya apakah ini keputusan yang paling tepat, atau satu keputusan dalam keterpaksaan atau satu keputusan paling drastik yang perlu diambil oleh pengurusan FELDA.

Pastinya anak-anak pelatih bolasepak warisan generasi FELDA yang sedang giat berlatih di Akademi Bolasepak Felda (ABSF) di Bangi pada ketika ini merasa sebak dan sayu. Abang-abang idola mereka yang kerap mereka sapa dan temui ketika sesi latihan kini tiada lagi. Harapan, cita-cita dan impian serta hala tuju untuk beraksi bersama pasukan idaman mereka kini samar buat seketika.

Itu gambaran kesedihan untuk hampir 70 orang pelatih di ABSF, dan bagaimana pula dengan anak-anak FELDA yang berada di lebih 300 rancangan yang turut memasang impian serupa. Itu tidak termasuk perasaan lebih 680,000 bilangan keluarga peneroka serta lebih 300,000 generasi baru FELDA (GenF) yang berada di seluruh negara.

Mereka pastinya sudah tidak punya apa-apa lagi produk FELDA untuk dibanggakan pada ketika ini selain cerita-cerita yang memalukan. Tiada siapakah yang mampu mempertahankan Lembaga Pengarah FELDA daripada membuat keputusan sedemikian.

Mungkin tiada hujah atau alasan yang kuat berasaskan kepada situasi semasa FELDA terkini daripada mementingkan hal sukan daripada hal bisnes lain. Namun bagaimana pula dengan peranan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM)? Senyap……ya mungkin hal ini kurang menarik bagi mereka.

Sayang sekali, saya rasakan bahawa FELDA United ini menjadi mangsa keadaan akibat kecelaruan yang sedang menghimpit sebuah organisasi ‘multi-bisnes’ yang begitu gemilang suatu

ketika dahulu.

Pernah menjadi penyelamat negara ketika kegawatan ekonomi 1998 dengan bantuan suntikan kewangan berbilion ringgit kepada kerajaan. Waktu itu kewangan FELDA melimpah ruah dengan simpanan hingga berbilion ringgit.

Zaman kegemilangan FELDA menyaksikan 2007 tertubuhnya Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC). Sekali gus menyaksikan FELDA United adalah antara pasukan yang mewah dan berbelanja besar.

Mengapa saya sangat terkesan sekali dengan FELDA ini. Ianya kerana saya sebenarnya anak jati FELDA dan juga pernah bertugas di Ibu Pejabat FELDA hampir sembilan tahun dan salah seorang pemain yang membawa pasukan bolasepak FELDA muncul naib juara Liga Dunhill Kuala Lumpur 1989 dan layak beraksi di Piala FAM.

Agak terkilan dan kesal kerana memaksa anak saya yang sekarang ini di tahun kedua bersama dengan Akademi Bolasepak FELDA sedangkan beliau sebenarnya menerima tawaran ditempat yang lebih baik dari itu.

Namun kerana semangat dan jiwa saya selaku generasi kedua FELDA, maka legasi itu ingin saya kekalkan. Malangnya ini yang berlaku walaupun saya optimis FELDA mempunyai perancangan yang terbaik untuk mereka.

* Penulis – Dr Pekan Ramli adalah pengulas ASTRO Arena & Fox Sports