Berikut Adalah Nasib ‘Jelmaan Messi’ Di Seluruh Dunia.

Lebih berdozen pemain pernah dilabel ‘jelmaan Messi’ namun tiada seorang pun yang dilihat mampu mencapai standard yang diletakkan Lionel Messi yang sebenar.

‘Jelmaan Messi’ dapat disaksikan di seluruh dunia dari Peru merentasi Afrika Selatan dan dari Jepun sehingga ke Iran, dua dozen negara sudah menghasilkan versi Messi mereka yang tersendiri.

Berikut adalah nasib ‘Jelmaan Messi’ di seluruh dunia.

1. Messi England – Patrick Roberts

Bermula sebagai pemain remaja di Fulham dan persembahan cemerlangnya menyaksikan dia menyertai Manchester City dengan nilai 12 juta pound (RM63 juta).

Namun dia gagal merebut kesebelasan utama City, jadi dia dipinjamkan ke Celtic dan walaupun memenangi tujuh trofi di bawah kendalian Brendan Rodgers, dia berdepan beberapa siri kec3deraan sekali gus menyaksikan dia gagal mencapai potensi seperti diharapkan.

Dia dipinjamkan ke Girona musim lalu namun dia tidak menyerlah – sebelum aksinya di Norwich dan Middlesbrough musim ini juga tidak begitu memberangsangkan.

2. Messi Mini – Fran Kirby

Pemain skuad wanita Chelsea dan England ini hanya memiliki ketinggian 157 sentimeter tetapi dia bekas pemain terbaik tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) dan Pemain Wanita Terbaik Tahunan selain menjadi tonggak Lionesses.

Pada Disember 2018, dia diundi sebagai pemain ke-13 terbaik dunia menerusi undian di sebuah akhbar.

Fran Kirby. – Foto AFP

3. Messi Scotland – Ryan Gauld

Gauld hanya berusia 17 tahun apabila dia meraih penampilan sulung bersama Dundee United dan beraksi cemerlang membantu The Terrors mara ke final Piala Scotland pada 2014.

Selepas disenarai pendek bagi anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan, Gauld disambar gergasi Portugal, Sporting Lisbon namun hanya membuat dua penampilan bersama pasukan itu pada 2014 dan 2015 sebelum dipinjamkan ke empat pasukan.

Dia kini berada di pasukan divisyen dua Liga Portugal, Farense.

4. Messi Switzerland – Xherdan Shaqiri

Shaqiri pernah beraksi bersama beberapa pasukan terkemuka dunia dan mel3dak gol dalam dua kempen Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah.

Masalah kec3deraan merencatkan peluangnya untuk beraksi di Liverpool musim ini dan dia hanya beraksi sebagai pemain gantian buat Mohamed Salah.

5. Messi Mesir – Mohamed Salah

Gagal menyerlah di Chelsea namun kini menjadi tonggak Liverpool dan walaupun ‘Raja Mesir’ tidak memiliki reputasi sehebat Messi, namun dia kini dianggap hampir setaraf bintang Argentina itu.

Salah adalah antara pemain terbaik dunia ketika ini dan mungkin selepas ini, ada pemain yang akan digelar ‘Jelmaan Salah’ pula.

Mohamed Salah. – Foto AFP

6. Messi Catalan – Gerard Deulofeu

Antara pemain berbakat semula jadi yang pada mulanya dianggap boleh dibandingkan dengan Messi namun pemain sayap Watford itu tidak memiliki konsistensi ataupun usaha seperti Messi.

Dia bergelut ketika berada di Barcelona namun menjadi watak penting buat The Hornets mara ke final Piala FA 2019.

7. Messi Jerman – Marko Marin

Tiba di Chelsea pada 2012 dengan reputasi menakjubkan tetapi seperti pemain muda yang lain, dia tidak mendapat peluang di Stamford Bridge.

Dia dipinjamkan sebanyak empat kali dalam tempoh tiga musim dan hanya beraksi enam kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) namun berjaya memenangi trofi di Greece, Sepanyol dan Serbia.

8. Messi Croatia – Alen Halilovic

Seorang lagi graduan Barcelona, pemain tengah Croatia ini memiliki kemahiran teknikal yang baik tetapi bergelut dengan aksi peringkat senior yang lebih fizikal.

Dia menyerlah ketika dipinjamkan di Sporting Gijon dan kini bersama AC Milan namun dipinjamkan ke kelab Belanda, Heerenveen selepas beraksi bersama Standard Leige.

9. Messi Norway – Martin Odegaard

Antara pemain remaja yang mencuri perhatian di Eropah dan disambar Real Madrid daripada Stromsgodset pada 2015.

Dia bergelut untuk menepati jangkaan yang diletakkan dan dia gagal beraksi dengan konsisten ketika dipinjamkan selama dua tahun di Heerenveen.

Namun, beraksi di Real Sociedad musim ini, dia memperagakan permainan yang cemerlang dan mungkin akan kembali ke pasukan utama Real Madrid, musim depan.

Martin Odegaard. – Foto AFP

10. Messi Ireland – Alan Judge

Namanya menjadi jenaka ketika dia beraksi bersama Brentford selama lima tahun antara 2014 dan 2019 dan membantu Bees mara ke Liga Kejuaraan serta kekal bersaing di divisyen dua itu.

Disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA 2013 dan 2016, dia kini beraksi bersama Ipswich namun gagal membantu Tractor Boys untuk kekal dalam divisyen Liga Satu.

11. Messi Peru – Raul Ruidiaz

Pemain Peru itu membuktikan sentuhan berbisanya dengan deretan gol ketika beraksi di Peru dan Mexico sebelum berhijrah ke MLS pada 2018.

Dia menjadi tonggak Seattle Sounders dan meneruskan prestasi hebatnya apabila menghimpun 16 gol dalam 21 perlawanan.

12. Messi Kosovo – Edon Zhergova

Zhergova menjadi sensasi di Youtube pada 2014 selepas kompilasi jaringannya yang ketika itu berusia 15 tahun menarik perhatian seluruh dunia.

Penghijrahannya ke Arsenal, Paris Saint Germain (PSG) dan Barcelona tidak dapat menjadi kenyataan tetapi dia ke Belgium untuk menyertai Standard Liege dan seterusnya Genk.

Basel kemudiannya membuat keputusan meminjam pemain itu bagi tempoh 18 bulan dan dia dijangka menjadi tonggak utama buat Basel pada masa akan datang.

13. Messi India – Lallianzuala Chhangte

Pemain sayap Chennaiyin ini menjadi pemain India termuda beraksi di peringkat antarabangsa apabila dia meraih penampilan sulung pada 2015.

Namun ketika ini pada usia 22 tahun, Changthe gagal memenuhi jangkaan yang diletakkan dan akhirnya ‘tenggelam’.

14. Messi Jepun – Takefusa Kubo

Berusia 18 tahun, bekas peny3rang FC Tokyo itu pernah menyertai akademi Barcelona namun selepas Barcelona dikenakan sekatan perpindahan, dia tidak layak beraksi dalam perlawanan kompetitif sekali gus menyebabkan dia pulang ke Jepun.

Dia menjadi pemain termuda beraksi dan menjaringkan gol dalam Liga Jepun (Liga J) sebelum disambar Real Madrid pada musim ini namun dipinjamkan ke Mallorca.

Kubo yang terpilih dalam skuad Jepun ke Copa America 2019 akan beraksi bersama Real Madrid Castilla musim depan di bawah bimbingan legenda Los Blancos, Raul.

Takefusa Kubo. – Foto AFP

15. Messi Greece – Giannis Fetfatzidis

Pemain sayap ini gagal menepati gelaran yang diberikan selepas beraksi dalam skuad utama Olympiacos.

Pernah beraksi di Itali dan Arab Saudi tetapi kini berada di Greece bersama Aris.

16. Messi Iran – Sardar Azmoun

Beberapa pasukan Eropah mengintai Azmoun beberapa tahun lalu termasuklah Arsenal yang menawarkan 2 juta pound (RM10 juta) untuk khidmatnya.

Azmoun yang kini berusia 25 tahun beraksi di Russia selepas menyertai Zenit St Petersburg pada jendela perpindahan musim sejuk dan dengan 11 gol dalam 13 penampilan, dia membantu Zenit memenangi gelaran liga.

17. Messi Indonesia – Egy Maulana Vikri

Dia dianggap prodigi dan selepas mel3dak 15 gol dalam 16 perlawanan bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) Indonesia, beberapa pasukan di Eropah tertarik dengan potensinya.

Dia bagaimanapun memilih Lechia Gdansk dan beraksi cemerlang untuk pasukan simpanan apabila menjaringkan 12 gol dalam 14 perlawanan di saingan divisyen empat Poland itu.

Kini dia memiliki tiga kap bersama skuad senior Garuda.

18. Messi Mexico – Diego Lainez

Pemain berusia 19 tahun ini ada potensi untuk menjadi bintang besar dan sering kali dinamakan sebagai pemain yang perlu diperhatikan pada masa akan datang.

Pemain remaja itu sudah beraksi bersama pasukan senior El Tri dan menyertai Real Betis dengan nilai 9 juta pound (RM47 juta) pada Januari 2019. Dia sering masuk sebagai pemain gantian buat Los Verdiblancos.

19. Messi Korea Selatan – Lee Seung Woo

Seorang lagi graduan akademi terkenal Barcelona, La Masia dan pernah dijulang sebagai bintang masa depan Korea Selatan.

Dia menyertai Catalonia pada 2011 namun hanya beraksi dalam satu perlawanan bersama Barcelona B sebelum berhijrah ke Hellas Verona pada 2017.

Dia menjadi wira buat negara apabila hantarannya membolehkan Son Heung Min mel3dak gol kemenangan pada aksi final Sukan Asia sekali gus membolehkan mereka terlepas daripada khidmat ketenteraan.

20. Messi Malaysia – Faiz Nasir

Antara pemain terkecil dalam dunia bola sepak dengan ketinggian 152 sentimeter.

Namun dia memiliki bakat yang besar apabila pemain Terengganu FC (TFC) itu berjaya mel3dak gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan tahun ini.

21. Messi Nigeria – Stanley Okoro

Dia beraksi bersama Almeria di Sepanyol namun gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

Kini beraksi di Nigeria, dia jelas menyukai gelaran ‘Messi Kecil’ yang diberikan kepadanya apabila berkata ‘satu perkara yang baik apabila dibandingkan dengan pemain terbaik di dunia. Saya tidak kisah dengan gelaran itu.’

22. Messi Thailand – Chanathip Songkrasin

Dia dikenali sebagai ‘Messi Jay’ ataupun ‘Jay’ namun ia sebenarnya diinspirasikan daripada seorang lagi legenda Argentina apabila bapanya melatihnya dengan tujuan supaya dia dapat meniru Diego Maradona.

Dia menjadi pemain paling popular dalam kalangan penyokong Thailand dengan kemahiran gelecekannya yang memukau dan memiliki 56 kap bersama Thailand dan dia kini beraksi di Jepun.

23. Messi Afrika Selatan – Tebogo Tlolane

Pemain itu mendapat gelaran Messi sejak kecil kerana kemahiran gelecekannya.

Dia menjalani tempoh percubaan selama dua minggu di Barcelona namun gagal dipilih – dia kembali ke Afrika Selatan dan beraksi bersama Maritzburg United sebagai bek kiri. – Agensi