KAFA Bakal ‘berentap’ Dengan FIFA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bakal ‘berentap’ dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu tuntutan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan pihaknya sudah memfailkan rayuan untuk mengenepikan dan membatalkan keputusan FIFA membabitkan isu Casio kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“KAFA juga memohon penangguhan pembayaran denda sehingga keputusan rayuan diputuskan namun CAS masih belum memutuskan sama ada permohonan ini dibenarkan atau tidak.

“Sekiranya (permohonan) dibenarkan, KAFA diberi tempoh untuk membuat bayaran sehingga keputusan terbabit diputuskan,” katanya.

Terdahulu, KAFA dihimpit satu lagi ‘ujian’ apabila badan induk bola sepak dunia itu mengarahkan mereka supaya menyelesaikan tunggakan gaji kepada Casio dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.

Susulan situasi terbabit, KAFA melancarkan tabung derma atas talian khusus untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan serta meringankan sedikit beban kewangan ditanggung mereka ketika ini.

“Setakat jam 12 tengah hari ini (Ahad), jumlah terkumpul adalah RM12,4000.

“Mengenai tabung ini, kita jangkakan lebih ramai lagi penderma jika rayuan diterima,” katanya.