Sekurang-Kurangnya 15 Individu Mempunyai Pertalian Darah Atau Diberikan Taraf Kerakyatan Beraksi Untuk Musim 2020

PEMAIN naturalisasi dan kacukan mula menjadi pilihan kepada pasukan Liga Malaysia untuk menguatkan pasukan masing-masing apabila menyaksikan sekurang-kurangnya 15 individu mempunyai pertalian darah atau diberikan taraf kerakyatan beraksi untuk musim 2020.

Hal ini bermakna pemain import bukan lagi pilihan utama kepada pasukan apabila individu berdarah kacukan atau mempunyai taraf kerakyatan mempunyai kualiti atau corak permainan sama dengan mereka sekali gus mampu menjimatkan wang.

Setakat ini, seramai 12 pemain naturalisasi bakal beraksi bersama pasukan masing-masing, manakala tiga individu dalam kategori naturalisasi pula sudah diserap dalam skuad utama di Liga Super.

Menurut bekas bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail pasukan bertaraf gergasi Liga Super sudah mula memasang radar masing-masing mencari bakat muda dari kalangan pemain kacukan dan naturalisasi.

Beliau berkata, perkara terbabit memberi impak positif dalam perkembangan bola sepak tanah air apabila pemain tempatan perlu bersaing lebih hebat untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Kehadiran semakin ramai pemain kacukan dan naturalisasi ini dapat meningkatkan lagi mutu dan kualiti persembahan pasukan di Liga Malaysia.

“Malah, mereka juga boleh berbakti bersama skuad kebangsaan dengan mengisi posisi kritikal seperti penyerang, sekali gus membantu Malaysia meraih kejayaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain itu, Jamal Nasir berkata, kehadiran pemain terbabit juga mempunyai keburukan kerana mungkin menyekat peluang pemain tempatan lain untuk tersenarai dalam kesebelasan utama.

“Jika terlampau bergantung kepada kacukan dan naturalisasi dibimbangi nanti pengurusan pasukan kurang menitik beratkan aspek pembangunan akar umbi.

sumber: HM

“Pada satu tahap, pemain tempatan sudah hilang minat untuk terus perjuangan dalam pasukan masing-masing seterusnya bola sepak negara akan hilang serinya nanti.

“Sudah tentu kemenangan perkara penting bagi setiap pasukan, namun kemampuan anak jati tempatan seharusnya tidak terlepas pandang,” katanya.