Benarkan Kami

KELAB Penyokong Bolasepak TFC, meletak harapan yang tinggi kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat memberikan kelonggaran kepada peminat menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Perdana di stadium.

Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, memandangkan sudah banyak sektor dibenarkan beroperasi, beliau berpandangan peminat bola sepak juga harus diberi peluang untuk menyaksikan liga paling berprestij dalam negara itu secara dekat di stadium.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dapat menetapkan garis panduan ataupun Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada peminat yang ingin memasuki stadium bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Selain itu beliau juga mengharapkan persatuan bola sepak negeri haruslah lebih telus dan bersedia dalam soal ini dengan tidak mengamalkan pilih kasih kerana Covid-19 boleh mengancam nyawa manusia.

“Pandangan saya jika keadaan terkawal bolehlah memberi kelonggaran dan peluang kepada peminat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di stadium lebih-lebih lagi saingan liga hanya berbaki tujuh dan lapan perlawanan lagi sebelum ditamatkan.

“Lagipun mereka sudah tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan selepas liga ditangguhkan bermula 16 Mac lalu selain sudah pasti pemain juga mahukan sorakan padu daripada peminat bagi menyuntik semangat mereka ketika beraksi.

“Mungkin MFL boleh memikirkan SOP terbaik termasuk mengurangkan jumlah peminat yang hadir ke stadium mengikut kapasiti dengan mengambil kira penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan serta syarat lain yang difikirkan sesuai,” ujar Mohd Isa.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan sukan bersentuhan fizikal dalam keadaan terkawal dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan mulai 15 Ogos ini.

Bagaimanapun pertandingan hanya terhad kepada kejohanan tempatan sahaja tanpa membabitkan kehadiran penonton manakala penganjuran acara antarabangsa yang membabitkan peserta luar negara tidak dibenarkan.