Belum tewas

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berpuas hati setelah pasukan bimbingannya kembali menemui rentak kemenangan apabila menundukkan Melaka United 3-0 di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin.

Mora berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak dapat me­ngubati kekecewaan gagal dalam dua perlawanan terdahulu menentang Perak FC dan Selangor FC yang berkesudahan dengan keputusan seri.

Pada perlawanan tersebut, Mora terpaksa merehatkan beberapa pemain utama di­sebabkan jadual padat liga dan memberi peluang kepada pemain seperti Haziq Nadzli, Danial Amier Norhisham, Mohamadou Sumareh untuk membuat penampilan pertama bersama skuad utama Harimau Selatan.

“Bagi perlawanan ini, kami mempunyai masa untuk membuat persiapan rapi dan mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama bagi menghadapi jadual padat liga dan ini tidak menda­tangkan masalah buat kami kerana kami mempunyai skuad besar.

“Ketiadaaan Natxo Insa yang dikenakan tindakan penggantu­ngan memberi ruang kepada Hariss Harun untuk mengemudi jentera tengah pasukan. Biarpun tidak membariskan pemain utama, pasukan bermain dengan baik.

“Perlawanan seperti ini pen­ting buat pemain yang kerap berada di bangku simpanan diberikan peluang untuk beraksi dan mereka beraksi penuh keyakinan, bersungguh-sungguh dan dahagakan kemenangan. Apa yang penting, kami berjaya me­ngutip tiga mata, tidak dibolosi dan kembali menemui rentak kemenangan,” ujarnya.

Bergson Da Silva mencuri tumpuan apabila meledak dua gol manakala Sumareh yang pertama kali diturunkan juga memberi impak besar apabila membantu Bergson menjaringkan gol ketiga perlawanan.

Ditanya mengenai penampilan pertama Haziq yang menggantikan Farizal Marlias sebagai benteng terakhir, Mora cukup berpuas hati dengan pemain muda itu yang memberikan keyakinan kepada rakan-rakan sepasukan untuk beraksi dengan baik.

Katanya, dia menjangkakan Haziq bakal mempunyai masa depan cerah bersama skuad H@rimau Selatan pada masa depan ­biarpun terpaksa berdepan ­saingan Farizal dan Izham Tarmizi bagi posisi nombor satu itu.

sumber : Konline

“Sukar untuk memilih siapakah yang terbaik antara mereka bertiga. Bagi saya, mereka adalah tiga penjaga gawang terbaik negara. Haziq dilihat mampu menjadi lebih baik dan lebih matang dengan pendedahan diberikan seperti ini,” kata Mora.