Beli Segera

KOTA BHARU: Skuad Kelantan menyambut baik kesediaan pensyarah, Wan Kamal Wan Napi membeli The Red Warriors (TRW).

Mereka menganggap berita itu sebagai permulaan positif menjelang aksi Liga Perdana menentang UKM FC, 22 Ogos ini.

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, dia mengalu-alukan kesediaan Wan Kamal dan berharap mampu memberi suntikan baharu kepada TRW.

“Semua orang sudah tahu masalah yang dihadapi dan kami memang mengharapkan sangat ada orang yang membantu, kerana bagi kami di sini, boleh dilihat dengan komitmen pemain dalam latihan.

“Dalam keadaan begini pun mereka masih lagi memberikan yang sebaik mungkin demi negeri dan pasukan yang mereka cintai,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di padang MARDI Pasir Tumboh, di sini.

Yusri yang bersama Kelantan sebanyak dua kali dan terbaru dilantik pada 18 April 2019 lalu berkata, untuk rekod tahun lalu mereka bermain tanpa gaji namun tetap menampilkan permainan yang baik sehingga mampu mengekalkan pasukan dalam Liga Perdana.

Katanya, dia berjanji akan memastikan TRW tidak terjerumus ke liga yang lebih bawah.

“Saya akui cabarannya cukup getir kerana kami berdepan satu lagi musibah apabila dipotong tiga mata baru-baru ini sekali gus kami berada di kedudukan tercorot bersama dua lagi pasukan.

“Secara peribadi saya amat sedih tetapi kerana jiwa yang diberikan pemain dan peminat yang membuatkan saya kuat untuk kekal di sini,” katanya yang akan tamat kontrak pada 30 November ini.

Bagi pemain, Nazrin Nawi, 31 dia juga melihat berita itu sebagai sesuatu yang baik, apatah lagi pasukan itu kini semakin memperbaiki mutu permainan dan serasi bersama pemain muka baharu.

“Jika ada pihak yang berminat beli Kelantan, lagi bagus sebab saya tengok pasukan boleh pergi jauh, permainan kami semakin meningkat dan penyokong pula sentiasa ada.

“Cuma saya harapkan beli cepat, kalau biarkan berlarutan sampai bila pun kita takkan ke depan,” katanya yang kembali beraksi bersama TRW pada Disember lalu.