Bekas pemain TRW hilang sabar

KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu tunggakan gaji bekas pemain import, Cassio Francisco De Jesus berjumlah lebih setengah juta ringgit yang perlu diselesaikan dalam bulan ini, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus dihimpit ‘bala’ tuntutan hutang daripada bekas pemain mereka pula.

Ia susulan bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi mendakwa persatuan berkenaan sudah melanggar perjanjian menyelesaikan hutang secara ansuran seperti dipersetujui antara mereka sebelum ini.

Mohd Badhri atau Piya mendakwa persatuan terbabit mungkir janjir apabila tidak membayar tunggakan gajinya mengikut jadual yang dipersetujui sejak April lalu.

“Mengikut perjanjian sebelum ini KAFA perlu membayar RM20,000 kepada saya setiap 5 hari bulan. Namun, sejak April lalu mereka tidak membuat pembayaran kepada saya.

“Apa lagi yang mereka (KAFA) mahu? Sebab saya sendiri sudah bertolak ansur dengan memberi pengurangan sebanyak RM25,000 daripada jumlah keseluruhan tunggakan.

“Memang sangat kecewa kerana mereka sudah berjanji membuat bayaran mengikut masa dan tarikh yang diberikan. Namun, mereka kini seakan mendiamkan diri dan lebih fokus kepada menyelesaikan hutang pemain import saja.

“Jangan lupa bahawa mereka juga ada hutang dengan pemain tempatan dan kami juga ada tanggungjawab atau komitmen yang perlu diselesaikan seperti membayar rumah dan kereta,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Jika benar dakwaan Piya, ia mungkin meletakkan KAFA dalam bahaya dan boleh dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya laporan rasmi sampai ke badan induk itu.

Malah, Kelantan juga menjadi salah satu pasukan yabg berada dibawah pemantauan rapi FAM berkaitan isu penyelesaian tunggakan gaji.

FAM pada Mac lalu sudah mengenakan hukuman pemotongan tiga mata ke atas Melaka United kerana gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka.

Sementara itu, bekas peny3rang berbisa TRW, Norfarhan Muhammad menerusi laman Facebook miliknya meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas KAFA.

“Semasa pemain bagi kelonggaran sehabis daya sehabis murni, sudah bertolak ansur dengan KAFA. Tapi pihak KAFA hanya pentingkan diri. Benda boleh selesai elok-elok, siap bagi less (pengurangan) dari jumlah sebenar pun masih diam membisu.

“Apabila berlaku begini cuak nak minta derma sana sini. Apa fungsi orang dalam KAFA itu sendiri? Suruh ore (orang) dalam KAFA itu derma dulu. Sudah-sudah la berdrama. Tiada orang yang lebih layak pegang KAFA selain Tan Sri Annuar Musa.

“Itulah set demo (anda semua). Elok-elok Tan Sri pegey (pegang) dulu demo suruh lepas jawatan. Dulu Tan Sri ada juga sangkut, tapi guna kecerdikan budi bicara boleh selesai juga. Sudah hilang jawatan nak suruh buat apa lagi. Bubar KAFA,” katanya.