Bekas pemain Kedah umum persaraan

SELEPAS mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran dalam bola sepak, bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof mengumumkan persaraan sebagai pemain profesional.

Pemain kelahiran Taiping, Pe­rak itu mengakui sedih de­ngan keputusan tersebut, namun ia dibuat selepas perbincangan de­ngan beberapa pihak.

Tambah Azmeer, dia turut meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat memenuhi hasrat peminat-peminat yang berharap dia kembali mewarnai saingan bola sepak tempatan.

“Dengan lafaz Bismillah, saya Azmeer Yusof mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional. Ribuan terima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan serta peminat yang banyak memberi sokongan selama ini.

“Saya memohon maaf kepada semua kerana tidak dapat meneruskan harapan kalian. Saya akui keputusan ini berat tetapi ia dibuat selepas berbincang dengan Tuan Guru Syeikh Muhd. Zainol dan Ustaz Moqti,” katanya di laman sosial Instagram.

Pada masa sama, pemain berusia 30 tahun itu juga me­minta maaf kepada mana-mana pihak yang tidak senang dengan dirinya meskipun dia sendiri tidak tahu apakah puncanya.

“Kepada pemain-pemain yang membenci, saya mohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Hingga kini saya tidak dapat jawapan me­ngapa kalian begitu bencikan saya.

“Bagaimanapun, apa sahaja yang berlaku, kita tetap adik-beradik dan saudara sesama Islam. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk anda semua,” ujarnya.

Sebagai rekod, Azmeer yang beraksi di posisi bek kiri pernah menyarung jersi Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Perak sepanjang kariernya bergelar pemain profesional.

Sumber : Kosmo